PAU 2022: Zahid umum penubuhan Majlis Ulama UMNO

Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, pada Jumaat. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, pada Jumaat. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu akan menubuhkan Majlis Ulama UMNO seiring dengan usaha untuk melebarkan lagi jaringan parti itu.

Beliau berkata, penubuhan majlis itu juga menjadi cerminan kesediaan parti untuk menjalin kerjasama bukan sahaja dalam kalangan rakan gabungan parti tetapi juga badan bukan kerajaan (NGO) lain.

“Melalui pendekatan ini kita mahu melebarkan jaringan UMNO (kerana) realitinya kita tidak boleh bersendirian dan parti perlu diberikan nafas baharu dengan sifat keterangkuman.

“UMNO perlu menjadi wadah kepada pertubuhan Melayu dan juga rakan sekutu lain (dan) atas sebab ini juga kita perlu mendekati kumpulan ulama yang saya percaya ramai yang sedia untuk bersama dengan kita.

“(Jadi) kita mesti terjemahkan usul penubuhan yang telah kita bincangkan beberapa ketika dahulu yang mana Majlis Ulama UMNO perlu diwujudkan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerjasama antara ulama dan parti perlu dijalinkan seiring dengan hala tuju baharu parti itu nanti.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut memaklumkan beliau turut bersetuju untuk menubuhkan akademi atau institut UMNO seperti yang dicadangkan Ketua Puteri UMNO, Datruk Zahida Zarik Khan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, persetujuan itu dibuat kerana parti sentiasa mendengar suara akar umbi bagi membolehkan parti terus bergerak ke hadapan.

Ikuti perkembangan semasa mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!