Anugerah diraih Michelle Yeoh membanggakan negara - PM
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan anugerah Golden Globe yang diraih Tan Sri Michelle Yeoh membanggakan negara dan rakyat terutamanya peminat filem.
Anwar menerusi ciapan di Twitternya pada Jumaat berkata, pencapaian Michelle itu diharap memberi inspirasi kepada budayawan dan seniman tempatan untuk terus berkarya serta mencambah bakat kreatif lagi berkualiti.
"Saya utus tahniah buat tokoh budayawan dan seniwati Michelle Yeoh atas pencapaian tingkat tinggi dalam industri seni perfileman tatkala meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi," kata beliau.
Ujar Anwar, beliau akan menonton filem yang dibintangi Michelle ‘Everything Everywhere All at Once’ itu dalam masa terdekat.
"Tahniah dari seluruh rakyat Malaysia!" tulisnya.
Michelle, 60, melakar sejarah gemilang buat negara apabila muncul sebagai pelakon Malaysia pertama yang ditabalkan sebagai pemenang Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/ Komedi di acara berprestij itu, Rabu lalu.
Pelakon kelahiran Ipoh, Perak tersebut menewaskan pencabar-pencabarnya seperti Lesley Manville (Mrs. Harris Goes To Paris), Anya Taylor-Joy (The Menu), Emma Thompson (Good Luck To You, Leo Grande) dan Margot Robbie (Babylon).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!