Pejabat pentadbiran, bilik guru SK Sempang musnah terbakar

Empat bilik menempatkan pejabat pentadbiran dan bilik guru di SK Sempang, Merlimau di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku pada jam 5.40 petang tadi. Gambar kecil: Rohaya Alias
Empat bilik menempatkan pejabat pentadbiran dan bilik guru di SK Sempang, Merlimau di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku pada jam 5.40 petang tadi. Gambar kecil: Rohaya Alias
A
A
A

JASIN - Empat bilik menempatkan pejabat pentadbiran dan bilik guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sempang, Merlimau di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku pada jam 5.40 petang tadi.

Kejadian disedari oleh pengawal keselamatan bertugas sebaik terlihat kepulan asap pada bahagian belakang bangunan berkenaan.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, turut terjejas dalam kejadian kebakaran itu ialah bilik guru besar dan bilik penolong kanan.

"Kejadian tiada melibatkan kemalangan jiwa ataupun kecederaan dan mujur tindakan pantas anggota bomba telah menyekat api dari merebak ke seluruh bangunan sekolah.

"Sehubungan itu, saya mengumumkan cuti kecemasan selama dua hari, iaitu Khamis dan Jumaat bagi semua murid di SK Sempang manakala semua guru diwajibkan hadir," katanya yang meninjau kejadian yang berlaku petang tadi.

Sementara itu, Penguasa Bomba Zon 1, Daerah Melaka Tengah, Rohaya Alias berkata, bomba menerima panggilan pada jam 5.45 petang dan tiba di lokasi kebakaran lapan minit kemudian.

Menurutnya kebakaran hanya melibatkan bahagian atas sebahagian bangunan berkeluasan 6.7 x 45.7 meter yang menempatkan pejabat pentadbiran, bilik guru, bilik penolong kanan dan bilik guru besar.

"Sewaktu bomba tiba api sedang marak dan kebakaran dipercayai bermula dari bahagian tengah yang menempatkan bilik penolong kanan.

Artikel Berkaitan:

"Anggota bomba mengambil masa 28 minit untuk mengawal kebakaran sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 6.30 petang," katanya.

Seramai 12 anggota serta lapan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau serta Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu.

SK Sempang mempunyai seramai 122 orang murid dan 22 guru manakala bangunan terlibat dipercayai berusia lebih 20 tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!