Kru feri mati lemas semasa pelayaran ke Pulau Tioman

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang kru kapal feri ditemui mati lemas selepas dipercayai terjatuh ketika dalam pelayaran menghantar penumpang ke Pulau Tioman, petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Luqman Mat Nor, 21 tahun.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata mayat mangsa ditemui di Kuala Sungai Mersing pada pukul 1.35 tengah hari ini.

“Ibu Pejabat Daerah Polis Mersing menerima maklumat mengenai kehilangannya pada pukul 9 malam tadi setelah disedari oleh kapten ia tiada dalam feri yang dalam pelayaran dari Jeti Shahbandar Mersing ke Tioman, kira-kira 5 petang.

“Susulan laporan, satu gerakan mencari dan menyelamatkan mangsa telah dilancarkan dan berjaya menemuinya tengah hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Daerah Mersing untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Samsi Samhuri dalam kenyataan berasingan berkata operasi pencarian mangsa hari ini dibahagikan kepada dua sektor iaitu melibatkan kawasan pencarian dari Jeti Mersing ke Teluk Seri Pantai serta dari Jeti Mersing ke Pantai Seri Apu sehingga persisiran pantai Teluk Arang.

“Pasukan Maritim dan Polis Marin juga telah membuat pencarian surface di pantai selain turut dibantu oleh orang awam,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!