KPM akan pastikan 17 sekolah sakit siap ikut jadual

Fadhlina (kiri) ketika meninjau keadaan kerosakan pada bumbung kantin SK Keledang Jaya di Nibong Tebal pada Jumaat.
Fadhlina (kiri) ketika meninjau keadaan kerosakan pada bumbung kantin SK Keledang Jaya di Nibong Tebal pada Jumaat.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan 17 buah sekolah daif di seluruh negara akan dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan bagi menjamin keselesaan guru dan pelajar.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memandang serius berhubung isu sekolah daif dan proses menaik taraf sedemikian amat diperlukan bagi mewujudkan suasana sekolah yang lebih kondusif.

Menurutnya, kebanyakan sekolah terbabit ketika ini berdepan dengan masalah kerosakan struktur dan usang.

"Kita sedang lihat dan pastikan 17 sekolah ini mengikut tempoh masa yang ditetapkan supaya kita dapat pindahkan status sakit kepada retender (ditender) supaya dia dapat bergerak dan disiapkan segera mengikut tempoh masa ditetapkan.

Fadhlina menurunkan tandatangan pada buku pelawat di SK Keledang Jaya, Nibong Tebal pada Jumaat.
Fadhlina menurunkan tandatangan pada buku pelawat di SK Keledang Jaya, Nibong Tebal pada Jumaat.

"Perkara ini berlaku disebabkan ada beberapa masalah lain, contohnya isu kekurangan pekerja, jadi tertangguh dan lewat jadi kita akan lihat dan segerakannya," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Keledang Jaya, Changkat pada Jumaat.

Fadhlina berkata, setakat ini semua projek penyelenggaraan sekolah daif sudah mencapai 90 peratus dan akan siap dalam tempoh masa terdekat.

Sementara itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada SK Keledang Jaya bagi penyelenggaraan kantin dan fasiliti sekolah.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang sebelum itu turut mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Acheh turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan kantin dan juga fasiliti sekolah berkenaan yang sudah daif di situ.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!