Ziarah Mahabbah 1.0 didik murid bantu golongan susah
SUBANG - Seramai 28 murid Tahun Enam dari Sekolah Rendah Islam Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seri Gombak menyertai program Ziarah Mahabbah 1.0 'misi bantuan golongan fakir 2019' yang dilaksanakan di sekitar Subang Bestari, Ahad lalu.
Program bertemakan 'Secebis Kasih, Sejuta Harapan' itu turut disertai sembilan guru sekolah berkenaan yang bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan di kawasan tersebut.
Guru Besarnya, Rahilah Akhtar Husin berkata, program pertama kali dianjurkan itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar untuk mendekati masyarakat.
Beliau berkata, aktiviti ini juga mampu membentuk pembangunan insaniah dalam diri dan mewujudkan rasa simpati serta empati dalam diri para murid untuk memikirkan penyelesaian masalah yang dihadapi masyarakat.
"Bagi program itu sebanyak empat keluarga kita bantu antaranya OKU, ibu tunggal serta suri rumah yang mempunyai anak atau tanggungan ramai dan bakal menimang cahaya mata baru.
"Kesemua penerima mendapat sumbangan berupa barangan dapur seperti beras, minyak, gula, susu, peralatan sekolah, barangan bayi serta wang tunai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Katanya, kesemua barangan itu juga adalah sumbangan dari ibu bapa murid-murid terbabit.
Rahilah berkata, program sama akan diteruskan pada masa akan datang supaya bantuan itu dapat disalurkan secara berterusan kepada golongan yang memerlukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!