UMNO yang bertekad hapuskan Pas - Takiyuddin
PUTRAJAYA - Pas menolak kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa parti itu ingin membunuh UMNO dalam politik negara ini.
Sebaliknya kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, hakikat sejarah politik menunjukkan UMNO terus bertekad sejak sekian lama untuk menghapuskan Pas.
"Ia termasuk percubaan untuk mengharamkan Pas pada suatu ketika dahulu," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Menurut Takiyuddin, anggapan Mohamad bahawa DAP ikhlas terhadap UMNO juga adalah suatu yang tidak masuk akal.
"Ia (kenyataan) dibuat dalam keterpaksaan," katanya.
Ujarnya, sebuah parti arus perdana, Pas akan terus bersikap terbuka serta bersedia mengadakan pertemuan, perbincangan serta perundingan dengan mana-mana pihak dengan memfokuskan kepada titik-titik persamaan dan merapatkan jurang perbezaan demi kebaikan negara.
"Pas amat yakin hanya dengan perpaduan semua parti politik yang terbentuk di atas keikhlasan dan niat murni sahaja akan dapat menjamin sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada seluruh rakyat," katanya.
Beliau berkata, Pas juga sentiasa menjunjung tinggi amalan serta pendekatan yang matang dan sejahtera dalam politik negara.
"Selain itu parti ini mendoakan agar sikap melulu, provokatif dan tidak berpijak pada kenyataan atas apa juga sebab tidak akan menggugat serta merosakkan kesejahteraan serta hubungan baik yang sedia ada dalam masyarakat kita," katanya.
Minggu lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu tidak akan menjadi pembunuh kepada UMNO seperti dakwaan segelintir pihak.
Katanya Pas pernah menyelamatkan UMNO dan menjadi rumah tumpangan terhadap pemimpin yang disingkirkan parti itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!