‘Saya tak perasan pula ada nama saya’ - Abdul Rahman

Abdul Rahman Mohamad
Abdul Rahman Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad tidak mengetahui namanya termasuk salah seorang yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Menteri Kerja Raya itu sebaliknya memberikan alasan bahawa beliau tidak menonton berita.

“Ada nama saya? Saya tak perasan pula ada nama saya. Saya tak pernah tengok berita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.

Ahmad Zahid sebelum ini mendedahkan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk daripada UMNO yang menandatangani SD menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

Pendedahan itu dibuat Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena PAU 2022 WTCKL pada Rabu.

Abdul Rahman dalam masa sama tidak menafikan bahawa termasuk sebagai salah seorang daripada 10 orang ahli Parlimen berkenaan.

“Saya tak nafi, tapi saya tak tahu. Kalau ada, apa masalah?,” soalnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menyentuh mengenai ucapan Ahmad Zahid dilihat seperti berbaur sindiran kepada individu tertentu, Abdul Rahman menafikannya.

“Bukan sindiran itu. Itu maksudnya menasihati kita UMNO ini bersatu kembali, itu bukan sindiran. Tafsiran sahaja sindiran,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!