Pondok buruk jadi tempat berteduh

Tujuh beranak tidak berkemampuan mendiami rumah lebih selesa.
Tujuh beranak tidak berkemampuan mendiami rumah lebih selesa.
A
A
A
SERENDAH - Amat menyedihkan apabila rumah yang didiami tujuh beranak hanya berdindingkan kanvas, berbumbung zink serta berasaskan kayu terpakai.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, Mohammad Ashraf Gopi Abdullah, 42, dan keluarganya pasrah untuk di tinggal di ladang kelapa sawit kerana kesempitan hidup.

Dia dan isteri Rosnah Pinning, 33, serta lima anak memilih untuk berteduh di ladang kelapa sawit dekat Air terjun Serendah selepas mendapat ihsan dari tuan ladang berkenaan.

Mohammad Ashraf berkata, dia berketurunan india dibesarkan di rumah perlindungan kanak-kanak sehingga berusia 18 tahun sebelum bekerja sebagai kelindan lori.

Menurutnya, ketika berusia 28 tahun, dia berkahwin dengan gadis pilihan dari Kampung Orang Asli Serendah dengan menetap di sebuah pondok yang dibina di kawasan tempat kerja dekat Pekan Serendah.

Isteri bersalin dalam pondok

"Anak sulung, Nadia dilahirkan di pondok berkenaan yang disambut ibu mertua pada waktu malam sebelum dirujuk ke hospital keesokan harinya.

"Masa itu saya tak tahu macam mana nak buat surat beranak dan selepas dua bulan, baru saya ke pejabat pendaftaran tapi banyak borang kena isi tapi saya tak faham.

"Nadia sekarang sudah berusia 13 tahun dan tiada surat beranak selain tidak pernah bersekolah," katanya.
Artikel Berkaitan:


Mohammad Ashraf berkata, anak kedua, Ahmad Zakuan, 12, mempunyai surat beranak dan bersekolah serta akan memasuki sebuah sekolah berasrama di Shah Alam tahun depan atas usaha seorang hamba Allah.

Pondok kayu beratap zink dan dinding kanvas menjadi tempat berteduh.

Kena halau sebab tak boleh bayar sewa



Menurutnya, pada 2010, dia dan isteri memeluk Islam namun terpaksa berhenti kerja berikutan kecederan dialami.

"Terjatuh semasa angkat simen ke tingkat tiga dan lutut tak lagi kuat untuk buat kerja berat.

"Tiada pilihan lain, saya cari besi buruk bagi menampung perbelanjaan keluarga.

"Saya kemudian ada menyewa rumah tapi sebab tak mampu bayar, saya terpaksa keluar dan menumpang di sebuah kuaters terbiar,"katanya.

Mohammad Ashraf berkata, dia dikurniakan tiga lagi anak, Nurhayati, 10, dan Ahmad Shahir, 7, serta Ahmad Idham, 6.

Menurutnya, keluarga itu terpaksa mencari penempatan baru selepas bangunan kuaters tersebut dirobohkan untuk pembangunan semula.



"Kami kembali ke kampung isteri dan buat pondok dalam ladang sawit di pintu masuk ke kawasan air terjun.

"Tokey (pengusaha) kawasan ini memberi saya kerja sebagai penjaga parkir yang difahamkan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan gaji RM800 sebulan.

"Saya cari kayu dan buluh di hutan manakala tokey bagi kanvas untuk buat atap serta dinding... saya baharu tiga minggu tinggal di sini," katanya.



Anak sulong tiada surat beranak



Mohammad Ashraf berkata, hanya anak sulung tidak mempunyai surat beranak dan tercicir dari pendidikan manakala anak kedua dan ketiga bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Serendah.

Menurutnya, anak keempat akan memasuki darjah satu dan bongsu ke tadika pada tahun depan.

"Sebab baru tiga minggu bekerja, jadi belum dapat gaji dan buat masa sekarang saya masih mencari besi buruk untuk tampung keluarga.

"Ketua kampung yang saya panggil Pak Din banyak membantu dan seorang anggota polis berpangkat sarjan, Pak Cik Mat yang sentiasa tolong.

"Motosikal buruk ini pun majikan lama bagi, tak ada cukai jalan.. basikal pun orang bagi, dan lima hari lepas, Pak Cik Mat tolong masukkan siaran televisyen berbayar,"katanya.

Mohammad Ashraf berkata, bekalan elektrik disambung dari pondok pengawal di pintu masuk air terjun manakala air sungai untuk kegunaan mandi dan membasuh pakaian serta pingan mangkuk.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam bernombor 08068020562121 atas nama Rosnah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!