Keputusan PRU15 Parlimen Gua Musang dicabar
Petisyen difailkan wakil calon Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah
KOTA BHARU - Wakil calon BN, Tengku Razaleigh Hamzah memfailkan petisyen mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Gua Musang di Mahkamah Tinggi di sini minggu lalu.
Petisyen difailkan oleh wakil calon itu, Mohd Azmi Mahmood pada 3 Januari 2023.
Memetik laporan Astro AWANI, petisyen itu menamakan Ahli Parlimen Gua Musang dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Azizi Abu Naim, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ab Fatah Hasbullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.
Petisyen difailkan melalui barisan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Md Abdullah, Datuk Mohd Hafarizam Harun, Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Mohd Baharudeen Mohd Ariff.
Menurut Abu Bakar, petisyen berkenaan antara lain meminta agar keputusan PRU15 bagi Parlimen Gua Musang dibatalkan dan menggesa SPR mengadakan pilihan raya kecil bagi Parlimen berkenaan.
“Anak guam kami memohon satu petisyen difailkan di mahkamah, mencabar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Gua Musang.
“Anak guam kami mendakwa berlaku politik wang dalam pilihan raya tersebut selain beberapa situasi yang mengganggu perjalanan proses pengundian,” katanya ketika dihubungi.
Abu Bakar berkata, anak guamnya mendakwa, antara lain, berlaku politik wang atau pembahagian wang kepada pengundi dan beberapa peti undi dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) tidak dikira, selain kertas undi yang tidak dikembalikan.
Pengurusan kes berkenaan dibaca buat kali pertama di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Tuan Nik Habri Muhamad di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Khamis.
Pengurusan kes seterusnya akan didengar pada 25 Januari depan.
Kes dikendalikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar.
Pada PRU15 lalu, Tengku Razaleigh gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12 apabila beliau tewas mengejut kepada Mohd Azizi.
Mohd Azizi menang dengan majoriti tipis 163 apabila memperoleh 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh mendapat 21,663 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!