Jawatan Presiden, Timbalan wajar dipertandingkan - Shahril

Shahril Sufian - Foto Bernama
Shahril Sufian - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sewajarnya dipertandingkan pada pemilihan parti UMNO akan datang.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berpandangan ia berdasarkan aturan biasa dalam proses pemilihan parti seperti yang berlaku sebelum ini.

"Atas dasar perkara itu memang biasa berlaku (pemilihan parti) dan saya setuju perlu adanya pertandingan," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.

Pada Rabu, seramai 140 Ketua UMNO Bahagian sebulat suara tidak mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata, mereka sepakat memohon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertimbangkan perkara tersebut, kerana UMNO pada saat ini perlu diperkukuhkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Dalam pada itu, Shahril menjelaskan paling penting ketika ini adalah memastikan kekalahan UMNO tidak berlaku lagi pada pilihan raya akan datang.

"Bagi saya paling penting adalah bukan hanya menyesuaikan diri dengan politik selepas pilihan raya umum tetapi juga memahami punca keputusan (penolakan parti).

"Selain apa yang perlu kita laksanakan dengan memastikan perkara sedemikian tidak berlaku lagi agar tidak menjurus ke arah lebih teruk," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!