Kerajaan semak semula penetapan harga siling ayam

Salahuddin ketika lawatan kerja di Pusat Jualan Ayam Bismi di Simpang Empat Kangkong, Alor Setar, pada Jumaat - Foto Bernama
Salahuddin ketika lawatan kerja di Pusat Jualan Ayam Bismi di Simpang Empat Kangkong, Alor Setar, pada Jumaat - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan akan mengkaji untuk menyemak semula penetapan harga siling ayam di negara ini selepas melihat bekalannya yang semakin pulih.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, semakan harga adalah bertujuan membantu pengguna untuk membeli harga bahan mentah itu pada harga murah.

"Kerajaan mengkaji untuk menyemak semula harga (siling ayam) dalam masa terdekat cuma menunggu masa sahaja.

"Saya melihat di seluruh negara pada hari ini, syarikat-syarikat (seperti pasar raya) bermurah hati menjual di bawah harga siling.

"Ada yang jual pada harga RM7.90 sekilogram dan ada yang menjual RM8.90 sekilogram," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Pusat Jualan Ayam Bismi di Simpang Empat Kangkong, dekat sini pada Jumaat.

Harga siling ayam yang telah ditetapkan ketika ini adalah sebanyak RM9.40 sekilogram.

Salahuddin berkata, inisiatif yang diberikan oleh syarikat seperti pasar raya memberikan banyak ruang kepada rakyat untuk mendapatkan ayam pada harga lebih murah.

Ujarnya, kerjasama dengan peladang, pembekal dan penjual turut diadakan dalam memastikan tidak berlaku tuding jari membabitkan harga ayam dan fakta sebenar juga diperolehi apabila perjumpaan diadakan bersama pemain industri.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat empat syarikat besar akan saya umumkan nanti. Saya akan meneruskan kerjasama ini secara terus kepada mereka.

"Jadi tunggu dulu biar saya mendapat fakta-fakta yang lebih lengkap daripada KPDN, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Ini supaya data-data itu apabila kita jumpa nanti dengan empat pemain utama ini, saya harap kita dapat berunding dengan baik dan kita cuba mencari satu penyelesaian supaya rantaian ini secara keseluruhannya untuk memberikan manfaat kepada rakyat mendapat harga yang lebih stabil," katanya lagi.

Dalam pada itu, Salahuddin menegaskan, walaupun bekalan dan telur ayam semakin stabil, beliau tetap mengarahkan Pejabat KPDN negeri supaya tidak leka, memantau dan memberikan maklum balas agar kes putus atau kurang bekalan barang keperluan utama tidak berulang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!