Polis kesan lelaki ragut beg tangan wanita

Kejadian dirakam dari kamera papan pemuka kereta milik suami mangsa dalam kejadian ragut di Lorong Selamat, Georgetown pada Khamis.
Kejadian dirakam dari kamera papan pemuka kereta milik suami mangsa dalam kejadian ragut di Lorong Selamat, Georgetown pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian ragut di Lorong Selamat di sini yang berlaku pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, rakaman kamera papan pemuka kereta milik suami mangsa memaparkan dia diragut seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika sedang berjalan di kawasan tersebut.

Menurutnya, akibat daripada kejadian tersebut, mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM2,800.

"Ketika kejadian, mangsa yang membawa beg tangan sedang berjalan bersama dua orang rakannya.

'Suspek seorang lelaki yang menaiki motosikal Yamaha Lagenda berwarna hitam kemudian datang dari arah belakang dan menghampiri mangsa lalu meragut beg tangan yang dibawanya.

"Mangsa mengalami lebam di tangan kanannya akibat beg tangannya direntap oleh suspek dan membuat laporan polis pada jam 1.55 petang, 12 Januari lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kata beliau, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menyalurkannya ke balai polis terdekat atau Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

"Usaha mengesan dan menahan suspek masih giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun dengan mendatangkan kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular satu klip video yang diambil daripada kamera papan pemuka sebuah kereta yang memaparkan seorang wanita diragut oleh seorang suspek lelaki yang menunggang sebuah motosikal berwarna hitam di Lorong Selamat di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!