Jurugambar wanita rugi RM38,200 jadi mangsa tawaran kerja

Ramli
Ramli
A
A
A

KUANTAN - Seorang jurugambar wanita kerugian RM38,200 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan secara dalam talian, Sabtu lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 26 tahun menerima pesanan Whatsapp daripada seorang individu (suspek) berhubung tawaran kerja terbabit.

Menurutnya, suspek mendakwa melihat permohonan kerja yang dipohon mangsa melalui laman sesawang Job Street.

"Mangsa ditawarkan kerja sebagai penulis ulasan dalam aplikasi Google Map dengan keuntungan melalui komisen.

"Bagi menyertai peluang kerja itu, mangsa dikehendaki membuat sejumlah bayaran," katanya.

Ramli berkata, tertarik dengan tawaran komisen lumayan dijanjikan, mangsa menggunakan wang simpanan sendiri dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bapanya untuk melunaskan bayaran itu.

"Mangsa telah membuat empat transaksi bayaran dengan jumlah keseluruhan RM38,200 sebelum menyedari ditipu.

"Ekoran itu, mangsa tampil membuat laporan di sebuah balai polis di Rompin pada Khamis," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.

"Polis tekankan kepada masyarakat agar membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak menjadi mangsa penipuan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!