Pasar raya turunkan harga, bantu kurangkan kos sara hidup

 Salahuddin Ayub - Foto Bernama
Salahuddin Ayub - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Penglibatan beberapa pasar raya besar dalam Kempen Inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diharap mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutamanya golongan miskin tegar dan B40.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pasar raya besar seperti Econsave, Mydin dan Lotus sudah pun giat mempromosikan Jualan Rahmah dan menurunkan harga barangan daripada tiga peratus sehingga 30 peratus.

"(Kenaikan harga barang) tidak boleh selesai dalam semalaman. Ia memerlukan satu tindakan jangka pendek, jangka sederhana dan juga jangka panjang.

"Kita memang memfokuskan pada golongan miskin tegar, B40, itu yang paling bawah sekali dahulu.

"Jadi ini adalah merupakan usaha jangka pendek kita. Antara yang menarik adalah boleh kita membuat Jualan Rahmah di pasar-pasar raya yang besar dan mereka boleh menurunkan harga tiga peratus hingga 30 peratus," katanya semasa ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat berhubung kenaikan harga barang makanan saban tahun menyaksikan kuasa beli pengguna semakin kecil sehinggakan wang RM100 tidak dapat membeli barangan dalam kuantiti banyak seperti dahulu.

Terdahulu, Salahuddin melancarkan Tabung Ihya Ramadan 2023 dan mengimamkan Solat Jumaat di Masjid Al Ummah Telok Chengai, Kuala Kedah.

Jelas beliau lagi, bagi pelan jangka masa sederhana dan panjang pula, KPDN menunggu langkah seterusnya yang akan diusahakan oleh Kementerian Ekonomi di bawah Mohd Rafizi Ramli.

Artikel Berkaitan:

Salahuddin (tengah) bergambar bersama ahli jawatankuasa Masjid Al Ummah Telok Chengai, Kuala Kedah selepas solat Jumaat.
Salahuddin (tengah) bergambar bersama ahli jawatankuasa Masjid Al Ummah Telok Chengai, Kuala Kedah selepas solat Jumaat.

Ujarnya, kementerian tersebut tidak boleh bersendirian dan memerlukan sokongan daripada kementerian lain untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat di negara ini.

"Kita akan melihat bagaimanakah pelan-pelan yang terdapat digerakkan kerana untuk untuk kita mendepani kos sara hidup ini mestilah dengan kita meningkatkan pendapatan kita.

"Jadi pelan jangka panjang itu kita kena bersabar dulu kerana ada benda yang kita buat tidak nampak hasil sekarang tapi ada benda yang boleh kita boleh buat sekarang antaranya Inisiatif Payung Rahmah," kata beliau.

Tambahnya, sebuah jawatankuasa pelaksanaan dan pemantauan kos sara hidup yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga telah dibentuk bagi memastikan usaha kerajaan meringankan beban rakyat dapat dilakukan secara berterusan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!