Ahli perniagaan didakwa buat tuntutan palsu lebih RM1.4 juta
SHAH ALAM - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah lebih RM1.4 juta, pada 2021.
Tertuduh, M Karthikesan, 44, didakwa memberikan dokumen palsu atas nama syarikat, Profit Sonata Sdn Bhd, bertarikh 4, 20 dan 26 Mei serta 21 Jun 2021 kepada seorang pegawai Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program itu berjumlah RM1,448,240.
Dia dituduh dengan niat memperdayakan Perkeso dengan dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu tentang borang pengesahan itu sedangkan senarai pekerja dinamakan dalam dokumen tersebut bukan pekerja syarikat berkenaan.
Karthikesan didakwa melakukan perbuatan itu di Wisma Perkeso Petaling Jaya antara 22 Mei dan 25 Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir matan palsu itu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.Mahkamah menetapkan 13 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh diwakili peguam, S Vijaya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!