Dana Notre Dame RM4.1b
PARIS - PERANCIS. Hampir AS$1 bilion (RM4.1 bilion) telah diperoleh dalam tempoh beberapa jam selepas rayuan dana dilancarkan untuk membina semula Katedral Notre Dame di Perancis yang musnah terbakar, kelmarin.
Media tempatan melaporkan AS$995 juta (RM4.1 bilion) berjaya dikumpulkan setakat ini.
Sebahagian daripada wang tersebut disalurkan oleh firma gergasi seperti Apple dan jenama terkenal antarabangsa, Chanel serta Dior.
Pada pagi semalam, kren besar dan papan kayu telah dihantar ke lokasi terbabit ketika pasukan bomba sedang menilai kemusnahan ikon di kota Paris tersebut. Beberapa pakar turut mempersoalkan tarikh akhir diberikan Presiden Emmanuel Macron untuk membaiki kerosakan Notre Dame yang didakwa hanya akan mengambil masa lima tahun bagi memulihkan semula struktur ikonik tersebut.
“Ia adalah langkah asas dan sangat kompleks kerana amat sukar untuk menghantar pekerja ke monumen terbabit.
Kebakaran yang berjaya dikawal tidak bermakna bangunan itu benar-benar selamat.
Struktur batu itu boleh merosot apabila ia terdedah kepada suhu tinggi yang akan mengubah komposisi mineralnya,” kata arkitek tempatan, Pierluigi Pericolo.
Difahamkan, Notre Dame akan ditutup selama enam tahun untuk kerja baik pulih.
Dalam perkembangan berkaitan, Perancis akan menjemput para arkitek dari seluruh dunia untuk mengemukakan idea mereka tentang reka bentuk bagi pembinaan semula Notre Dame.
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Edouard Philippe semalam selepas mesyuarat khas Kabinet yang memfokuskan usaha pembinaan semula ikon kota Paris itu.
Philippe turut menyifatkan projek baik pulih itu sebagai satu cabaran besar, namun beliau masih tidak dapat memberikan jumlah sebenar kos pengubahsuaian tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!