Siaran EPL percuma: KKD akan bincang dengan KBS
KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) akan berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung siaran langsung percuma saingan Liga Bola Sepak Inggeris (EPL).
Menterinya, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, perbincangan itu bertujuan untuk melihat keutamaan sebelum membuat sebarang keputusan.
"KKD dan KBS akan berbincang dengan penyedia siaran beberapa sukan untuk memahami apakah keutamaan yang akan diberikan.
"Sebagai contoh baru-baru ini kita (KKD) bawakan siaran langsung Kejohanan Bola Sepak Piala AFF.
"Alhamdulillah beberapa kali kita dapat saksikan Harimau Malaya beraksi dengan baik," katanya ketika diminta mengulas sama ada kerajaan bersedia untuk menyiarkan siaran langsung secara percuma saingan EPL di kaca televisyen.
Sebelum itu beliau hadir pada sesi perjumpaan bersama warga KKD Kelantan di Pejabat Jabatan Penyiaran Kelantan di sini pada Jumaat.
Ahmad Fahmi memberitahu, hasil perbincangan itu akan menjadi panduan buat KKD dalam merangka perancangan pada masa hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!