PAU 2022: Sokongan terhadap UMNO merosot sejak 15 tahun lalu
KUALA LUMPUR - Penurunan sokongan terhadap UMNO merosot sejak 15 tahun lalu, kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah, Suziyana Mahayuddin.
Katanya, trend sokongan itu semakin menurun sehinggalah parti itu kalah berturut-turut pada pilihan raya sejak kebelakangan ini.
"Kita mula menang besar pada tahun 2004 sebanyak 198 kerusi dan selepas itu turun 148 kerusi dan kemudian turun lagi pada 133 kerusi.
"Selepas itu turun lagi, terus kalah dan kita kalah berturut-turut. Kita nampak trend itu masih lagi di takuk sama.
"Jadi UMNO perlu buat anjakan paradigma menyelusuri cabaran alaf baharu. Terima hakikat zaman sudah berubah," ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO tidak akan berubah selagi cara bekerja hanya bersifat retorik.
"UMNO tidak akan berubah selagi cara kita bertindak dan cara bekerja masih dalam paradigma yang sama dan hanya bersifat retorik.
"Kenapa kita katakan bersifat retorik sebab dalam dewan ini ada macam-macam idea, tambahan idea yang bernas dan sebagainya tetapi nanti apabila majlis penutup Sabtu petang nanti segala perkara itu sudah tidak diingatkan lagi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!