Operasi cari Muhammad Zahiruddin disambung esok
BANGI - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Seri Putra, di sini, pada Isnin ditangguhkan petang ini.
Operasi kira-kira 20 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis bermula jam 5.40 petang di Sungai Semenyih ditangguh pada 7.30 petang dan akan disambung esok.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bangi Rosman Majid berkata pencarian tadi bermula sepanjang tujuh kilometer di sekitar Sungai Semenyih sehingga ke kawasan perangkap sampah, kira-kira satu kilometer dari rumah kanak-kanak itu.
“Kami berhadapan kesukaran menurunkan bot bomba kerana ia terlalu besar, memandangkan sungai itu cetek. Kami bekerjasama dengan APM dengan menggunakan sebuah bot mereka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat akan disambung 9 pagi esok dengan bantuan khidmat unit K9 bomba (unit anjing pengesan) bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) untuk mengesan jejak kanak-kanak itu di lokasi.
Kawasan pencarian turut diperluaskan esok, katanya.
Semalam, Bernama melaporkan kanak-kanak itu dikatakan keluar dari rumahnya kira-kira jam 8 pagi Isnin untuk keluar bermain dengan rakannya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!