Esok hari penentuan pertandingan jawatan 'Top 2'
WALAUPUN nada kebanyakan pemimpin dilihat bersetuju dua jawatan utama UMNO iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, namun ada dalam kalangan ahli akar umbi berpandangan berbeza.
Buktinya, suasana di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) petang Jumaat dikhabarkan bertukar ‘panas’ apabila ada dalam kalangan perwakilan yang hadir menunjukkan ‘protes’ terhadap cadangan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
Berdasarkan video yang tular, terdapat beberapa kumpulan perwakilan dilihat membuat laungan ‘boo’ ketika wakil daripada Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin mengemukakan usul berkenaan dan kemudiannya disokong oleh Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.
Perkembangan terbaharu itu jelas memperlihatkan barisan pemimpin dan akar umbi mempunyai pandangan berbeza berhubung isu yang sedang hangat diperkatakan itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 petang Jumaat menjelaskan, beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan soal pemilihan parti khususnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan atau sebaliknya pada pemilihan parti akan datang.
Jelas Ahmad Zahid, sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi maka urusan tersebut diserahkan kepada perwakilan untuk menentukannya.
Bagaimanapun, penegasan dibuat Ahmad Zahid ketika berucap di hadapan hampir 3,000 perwakilan yang hadir itu ternyata belum meredakan isu yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.
Justeru, berbaki sehari lagi PAU 2022 yang bakal melabuhkan tirainya pada Sabtu, pastinya ucapan penangguhan oleh ketua-ketua sayap dan pemimpin tertinggi parti antara perkara yang dinanti-nanti.
Menariknya lagi, berdasarkan susunan jadual untuk hari terakhir yang dikongsikan kepada pihak media, selain ketua-ketua sayap, Presiden dan Timbalan Presiden, penggulungan juga akan disertai tiga Naib Presiden.
Selain ucapan penggulungan oleh ‘Top 5’, keputusan sama ada usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan atau sebaliknya juga bakal diketahui.
Keputusan itu akan menoktahkan perbalahan mengenai ‘perebutan’ dua jawatan tertinggi parti itu hingga mencetuskan polemik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!