Terbuka Malaysia: Axelsen, Yamaguchi mara separuh akhir

Viktor Axelsen ketika beraksi menentang pemain Jepun Kenta Nishimoto pada suku akhir Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia 2023 pada Jumaat. - Foto Bernama
Viktor Axelsen ketika beraksi menentang pemain Jepun Kenta Nishimoto pada suku akhir Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia 2023 pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A
[DIKEMAS KINI] JAGUH perseorangan dunia, Viktor Axelsen dan Akane Yamaguchi masing-masing melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia.

Juara bertahan perseorangan lelaki, Axelsen memastikan beliau berada dalam laluan untuk mempertahankan kejuaraannya dengan menundukkan pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 Kenta Nishimoto dari Jepun 21-16, 21-12 dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung di Arena Axiata di sini pada Jumaat.

Pemain nombor satu dunia itu akan berhadapan satu lagi cabaran daripada pemain Jepun Kanta Tsuneyama, yang mengejutkan pemain pilihan keenam kejohanan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia 21-14, 21-16.

Axelsen yang turun ke gelanggang selepas berehat dua hari berikutan pemain veteran Malaysia, Liew Daren menarik diri daripada perlawanan pusingan kedua akibat kecederaan betis kanannya semalam, berkata beliau berada dalam keadaan cergas sepenuhnya untuk aksi hari ini.

"Keadaan sedikit berbeza buat saya hari ini, saya berehat dua hari, jadi secara fizikalnya saya rasa segar 100 peratus sementara Nishimoto saya rasa beliau agak keletihan selepas mengharungi tiga perlawanan yang mencabar.

"Saya selalunya menghormati sepenuhnya lawan saya dan tiada bezanya esok. Diharap saya akan dapat mengekalkan momentum untuk satu lagi perlawanan yang mencabar,” kata juara Olimpik dan dunia itu kepada wartawan.

Pemain perseorangan Jepun Naraoka Kodai ketika beraksi menentang pemain India H. S. Prannoy pada suku akhir Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena hari ini.
Pemain perseorangan Jepun Naraoka Kodai ketika beraksi menentang pemain India H. S. Prannoy pada suku akhir Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena hari ini.



Satu lagi perlawanan separuh akhir antara dua bintang meningkat naik - Kodai Naraoka dari Jepun dan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita nombor satu dunia Yamaguchi menewaskan wakil Denmark Mia Blichfeldt , 21-12, 21-11 dalam perlawanan suku akhir hari ini untuk mara ke peringkat seterusnya.

Artikel Berkaitan:


Berhadapan wakil Taiwan, Tai Tzu Ying esok, Yamaguchi yang merupakan juara dunia tiga kali menjangkakan pertarungan sengit dengan pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu.

"Beliau seroang pemain yang kuat dengan kemahiran dan pertahanan yang baik, jadi saya ada rancangan tersendiri untuk berhadapannya," kata Yamaguchi sambil menambah ketiadaan juara bertahan Ratchanok Intanon dari Thailand tidak memberikan laluan mudah untuknya muncul juara kali ini.

Tzu Ying mara ke separuh akhir selepas menumpaskan rakan senegaranya Hsu Wen Chi 21-6, 21-8.

Pemain nombor dua dunia Chen Yu Fei dari China akan bertemu wakil Korea Selatan An Se Young dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Yu Fei menewaskan pemain Sepanyol Carolina Marin 21-18, 21-19, sementara Se Young mengalahkan Wang Zhi Yi dari China 21-17, 16-21, 21-19.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!