PM ucap tahniah kepada Sudha Devi
Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebooknya berkata, pelantikan Sudha Devi sebagai pengerusi yayasan tersebut telah menerima sokongan secara konsensus dari kesemua 56 negara anggota Komanwel.
"Beliau merupakan rakyat Malaysia dan wakil benua Asia pertama yang memegang jawatan sebagai pengerusi sejak penubuhan yayasan tersebut pada tahun 1966. Tahniah, Dato’ Sudha Devi!,” kata Perdana Menteri.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Selasa, memaklumkan pelantikan semula Sudha Devi ke jawatan itu adalah cerminan peranan penting Malaysia serta komitmen kukuhnya dalam menyokong kerja yayasan serta organisasi Komanwel secara keseluruhan.
Bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia itu kali pertama dipilih mengetuai Yayasan Komanwel pada 2020 melalui pemilihan yang berlangsung di London dan menjadi orang Asia pertama dipilih sebagai pengerusi sejak penubuhan yayasan itu pada 1966.
Menurut Wisma Putra, sebagai pengerusi Yayasan Komanwel, Sudha Devi akan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengelola, mewakili yayasan pada mesyuarat dan acara antara kerajaan dan berkhidmat sebagai duta untuk mempromosi visi dan nilai yayasan.
Yayasan Komanwel ditubuhkan untuk menyokong dan mengukuhkan penyertaan rakyat, terutama melalui Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) dalam membangunkan masyarakat demokratik. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!