California terima impak dahsyat akibat cuaca ekstrem

Dua kenderaan terhumban ke dalam lubang jerlus yang berlaku di kawasan kejiranan Chatsworth di Los Angeles.
Dua kenderaan terhumban ke dalam lubang jerlus yang berlaku di kawasan kejiranan Chatsworth di Los Angeles.
A
A
A

WASHINGTON - Negeri California di Amerika Syarikat (AS) dilanda taufan yang membawa angin kencang tanpa henti hingga menyebabkan seluruh kawasan di Sacramento sedang bergelut dengan banjir besar dan kejadian tanah runtuh sejak dua minggu lalu.

Sekurang-kurangnya 18 mangsa menjadi korban cuaca buruk di barat Washington itu yang membawa hujan lebat luar biasa di beberapa lokasi pada tahap tidak pernah dilihat dalam tempoh 150 tahun.

Keadaan itu turut menyebabkan bekalan elektrik terputus selama beberapa hari, banyak pokok tumbang dan kira-kira 955 kejadian tanah runtuh direkodkan ketika banjir terus melanda Negeri Emas tersebut.

Ahli klimatologi Jabatan Sumber Air, Michael Anderson memaklumkan California telah dibadai tujuh ribut sejak akhir Disember lalu.

“Ribut kelapan dan kesembilan diramalkan akan tiba berkemungkinan dengan impak lebih besar,” jelasnya sambil menambah kos kerugian dijangka mencecah berbilion dolar.

Ketika ini kira-kira 90 peratus atau lebih 34 juta penduduk California terjejas banjir, manakala ribuan kehilangan tempat tinggal.

Pada Rabu, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memberi amaran hujan lebat diramalkan akan melanda barat laut California dan negeri lain di Barat Laut Pasifik seperti Washington serta Oregon sehingga awal Sabtu.

“Ia adalah ribut paling dahsyat sejak Januari 2005. Di seluruh negeri itu, jumlah taburan hujan telah mencecah antara 400 dan 600 peratus melebihi nilai purata,” jelas NWS.

Artikel Berkaitan:

Sisa sampah hanyut di sepanjang pantai di Aptos.
Sisa sampah hanyut di sepanjang pantai di Aptos.

Gabenor California, Gavin Newsom juga berkata, beliau tidak pernah melihat ribut pada skala itu sebelum ini.

“Penduduk di negeri ini perlu membiasakan diri dengan keadaan cuaca tidak menentu seperti ini. Kadangkala ia boleh menjadi kemarau ekstrem atau bertukar secara drastik kepada hujan lebat berterusan yang disebabkan oleh fenomena perubahan iklim.

“Kita berkemungkinan akan melihat cuaca lebih buruk pada masa depan,” ujarnya.

Menurutnya, Sacramento kini sedang berdepan cuaca whiplash daripada keadaan kemarau yang teruk kepada ‘sungai atmosfera kelima’.

Pada Isnin lalu, Presiden Joe Biden turut mengisytiharkan darurat kecemasan untuk membolehkan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) menyalurkan bantuan bencana.

Sementara itu, Tony Valdez yang sudah menetap di Santa Cruz selama 28 tahun mengakui terkejut melihat impak cuaca buruk tersebut.

“Saya seperti tidak percaya ia telah menyebabkan kemusnahan harta benda yang besar. Kesan banjir lebih dahsyat berbanding kemarau sebelum ini,” katanya.

Sacramento dilanda tujuh ribut yang membawa angin kencang sejak akhir Disember lalu.
Sacramento dilanda tujuh ribut yang membawa angin kencang sejak akhir Disember lalu.

Sebelum ini, California merupakan salah sebuah negeri paling kering di AS hingga memaksa pelaksanaan catuan air di beberapa kawasan akibat kemarau berpanjangan.

Pada 2022, Sacramento dilaporkan mengalami kemarau teruk untuk tahun ketiga setelah ia merekodkan cuaca paling kering.

Namun, keadaan itu berubah menjadi paling lembap dalam tempoh dua minggu sejak banjir itu bermula pada akhir bulan lalu.

Namun, cuaca buruk tersebut dikatakan tidak akan menangani kemarau di negeri itu untuk tempoh jangka panjang.

Jelas saintis, masalah itu hanya dapat diatasi dengan taburan hujan melebihi purata selama beberapa tahun bagi mengembalikan paras normal pada takungan air di California. - SANTA CRUZ SUMBER: AGENSI/ AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!