Pegawai khas TPM, Ramesh Rao meninggal dunia
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum India di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Ramesh Rao meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada pagi Sabtu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau amat menghargai khidmat bakti dan jasa mendiang yang juga Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia kepada masyarakat serta negara.
“Dengan perasaan sedih dan dukacita, saya dan seluruh warga kerja Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Desa dan Wilayah mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.
“Semoga ahli keluarga, kenalan dan rakan taulan tetap sabar dalam menghadapi dugaan kehilangan insan yang mereka sayangi.
"Semalam saya sempat bersama mendiang Ramesh Rao semasa menyantuni peniaga trak makanan di WTC, Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ramesh Rao dilantik sebagai sebagai pegawai khas Ahmad Zahid pada 24 Disember lalu dan bertanggungjawab menjaga kebajikan kaum India di negara ini tanpa mengira fahaman politik.
Sementara itu, penulis kenyataan media kepada Ramesh, Ibnu Khusairy Aris ketika dihubungi memaklumkan, kali terakhir dia bercakap dengan mendiang adalah pada malam Jumaat menerusi panggilan telefon.
“Saya berkomunikasi dengan beliau malam tadi dan sepatutnya ada perkara berkaitan kenyataan media untuk saya bincang dengan mendiang pagi ini (Sabtu).
“Pada Jumaat, saya baru menulis kenyataan media beliau berkaitan 60 Peratus Rakyat Tidak Tahu Bantuan Yang Ada di Kementerian.
“Beliau mahu berusaha mencari mekanisme dan menyelesaikan masalah kemiskinan dalam kalangan kaum India dan memastikan murid dan pelajar India dapat menikmati pendidikan terbaik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!