PAU 2022: UMNO berdepan perspektif negatif pengundi luar
KUALA LUMPUR - UMNO akan berdepan dengan perspektif negatif pengundi luar sekiranya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Perwakilan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique berkata, melihat akan perkembangan ini adalah wajar untuk parti membuat keputusan dengan penilaian secara menyeluruh.
“Ada yang setuju ada yang tidak (pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden). Pelbagai pandangan dan pendapat dilontarkan oleh ahli-ahli parti.
“Isu ini jika tidak diberikan perhatian yang serius mungkin akan memberi kesan bukan sahaja kepada parti malah kepada 60 pengundi pengundi Melayu di luar sana yang sedang memerhati gelagat kita.
“Seperti perwakilan Johor, kita tidak setuju (untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO) tidak dipertandingkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.
Jelas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang itu lagi, UMNO pada dasarnya adalah sebuah parti politik yang bersifat rasional dan terbuka wajar membuka ruang supaya dua jawatan penting itu dipertandingkan.
“Sesiapa saja yang dipilih sebagai Presiden dan Timbalan Presiden nanti pastinya akan mendapat sokongan jitu dari ahli-ahli parti pada akhirnya.
“Sekiranya jawatan-jawatan ini tidak dipertandingkan, saya bimbang pengundi di luar parti akan menilai parti kita dari perspektif yang negatif. Sama-samalah kita fikirkan,” katanya.
Pada Jumaat, wakil Negeri Sembilan mengemukakan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Usul itu, kemudiannya disokong oleh Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.
Bagaimanapun terdapat sekumpulan perwakilan membuat protes dengan melaungkan ‘boo’ ketika usul itu dikemukakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!