Usul tak tanding dua jawatan tertinggi tidak sempurna - UMNO Johor

Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - Foto Bernama
Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perwakilan UMNO dari Johor melahirkan rasa pelik apabila usul tambahan mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan yang dibawa oleh Perwakilan Negeri Sembilan pada Jumaat boleh diterima dan dibahaskan.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad berpandangan, mungkin parti itu kini telah menjadi ‘pasti asal boleh’.

“Merujuk kepada Fasal 30, Buku Perlembagaan UMNO dan Perkara 10, Peraturan Persidangan, saya dapati usul yang dibawa semalam tidak sempurna dan tidak boleh diteruskan di dalam Perhimpunan Agung UMNO.

“(Ini) kerana ia perlu dimurnikan mengikut perlembagaan dan peraturan mesyuarat. Jika tidak pasti, silalah rujuk,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau diedarkan oleh sekretariat media UMNO pada pagi ini.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil pada Jumaat menyatakan satu usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang telah dikemukakan.

Kata Isham, usul berkenaan dicadangkan oleh perwakilan dari Negeri Sembilan dan disokong oleh perwakilan Terengganu, Selangor, perwakilan Wanita dan Pulau Pinang.

Pandak menambah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan 'ready to fight' (sedia untuk berlawan) kepada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Artikel Berkaitan:

“Seingat saya, Presiden pun berjiwa besar. Seingat saya, Presiden tidak ada masalah untuk bertanding dan yakin untuk mempertahankan jawatan. Begitu juga Timbalan Presiden.

“Tapi semalam, kita pula membahaskan tentang usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden atas nama perpaduan dan kestabilan parti.

“UMNO Johor ingin bertanya, sampai bila kita ingin menunggang perpaduan parti atau kestabilan parti,” soalnya.

Menurutnya, sekiranya betul UMNO mahu perpaduan dan kestabilan, mengapa hanya dua jawatan tertinggi itu yang tidak dipertandingkan.

“Kenapa bukan semua jawatan parti di bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan juga tidak dipertandingkan? Barulah perpaduan dan kestabilan parti terjaga.

“Bawalah usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan-jawatan parti di bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan. Tak perlu kelulusan dan persetujuan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan due process (proses wajar) yang sepatutnya,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!