Jasad Lisa Marie Presley akan disemadikan di Graceland
LOS ANGELES - Jasad Lisa Marie Presley akan disemadikan di Graceland, Memphis di Tennessee, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Los Angeles Times mengesahkan pada Jumaat bahawa jasad anak tunggal kepada legenda muzik mendiang Elvis Presley itu akan dibawa ke Tennessee.
Presley, 54, menghembuskan nafas terakhirnya pada Khamis di Calabasas akibat serangan jantung.
Menurut wakil anak perempuan Presley, Riley Keough, jasad penyanyi 'Storm & Grace' itu akan disemadikan bersebelahan pusara anaknya Benjamin Keough yang meninggal dunia pada 2020.
Lisa Marie Presley dilaporkan rebah di sebuah rumah di Calabasas sebelum dihantar ke Hospital West Hills.
Penyanyi itu meninggalkan ibu Priscilla Presley dan anak kembarnya yang berusia 14 tahun, Harper dan Finley Lockwood, hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya Michael Lockwood. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!