'MB, Exco tidak dijemput bersama PM'

Gambar kiri: Ciapan Dr Azman di laman twitternya pada Sabtu. Tangkap layar hantaran dari laman Facebook Dr Azman yang dimuat naik pada Sabtu.
Gambar kiri: Ciapan Dr Azman di laman twitternya pada Sabtu. Tangkap layar hantaran dari laman Facebook Dr Azman yang dimuat naik pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan Exco tidak dijemput untuk turut serta ketika lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri itu pada Khamis lalu.

Perkara itu diakui Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim menerusi ciapan di laman twitternya jam 1.39 petang pada Sabtu.

"Di Terengganu sebagaimana saya maklum sebelum ini kami tak dijemput dan tak dilibatkan walaupun kami tahu ada pertemuan tersebut," tulisnya.

Mengulas isu sama di laman Facebooknya pula, Dr Azman berkata, setiap lawatan rasmi pimpinan Kerajaan Pusat sama ada Perdana Menteri, Menteri atau Timbalan Menteri ke negeri-negeri, ada susunan acara yang telah ditetapkan dan protokol yang diatur.

"Apabila kita dimaklumkan sekali gus ada acara yang melibatkan kita, maka kita hadir sebagai tuan rumah untuk sambut tetamu dengan hormat tanpa mengira dari parti mana.

"Ada ketika kita tak dimaklumkan dan tak dijemput walau kita tahu mereka mari (datang) ke Terengganu, maka kita bersangka baik bahawa tetamu yang mari ada acara lain yang telah disusun serta tak perlu kepada kehadiran atau penyertaan kita. It's ok. Negeri ini terbuka untuk siapa saja berkunjung," tulisnya.

Dalam lawatan kerja itu, Anwar turut dijadualkan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta bertemu pegawai-pegawai kerajaan.

Pakatan Harapan (PH) Terengganu dalam kenyataan pada Jumaat berkata, tindakan Ahmad Samsuri dan Exco Kerajaan Negeri seolah-olah memboikot Perdana Menteri kerana alasan diberikan tidak berasas.

Artikel Berkaitan:

Ketua Penerangannya, Mohd Sufian Mat Ali berkata, ketiadaan mereka ketika lawatan kerja ketua kerajaan pusat itu tidak wajar berlaku.

Beliau turut menolak alasan tiada makluman rasmi dari Pejabat Perdana Menteri kerana katanya, setiausaha kerajaan negeri, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil hadir sama menyambut Anwar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!