[VIDEO] PAU 2022: Tag ditanggal, timbul dakwaan ‘pengundi hantu'

Khairy Jamaluddin dan tangkap layar video yang dimuat naik di laman TikToknya pada Sabtu.
Khairy Jamaluddin dan tangkap layar video yang dimuat naik di laman TikToknya pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO mencetuskan satu lagi ‘perkembangan terbaharu’ susulan wujud dakwaan ada cubaan untuk membawa masuk 'pengundi hantu' bagi meluluskan usul tambahan supaya tidak membenarkan dua jawatan tertinggi dalam parti itu dipertandingkan.

Perkara itu juga turut dikongsikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sekali gus memberi gambaran bahawa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang sedang berlangsung ketika ini ‘panas’.

Khairy menerusi satu rakaman video berkata, beliau difahamkan ‘tag’ atau penanda kedudukan perwakilan yang sebelum ini diletakkan di kerusi Dewan Merdeka telahpun ditanggalkan.

Keadaan itu, dakwa Khairy berkemungkinan besar bagi membawa masuk pengundi luar bagi meluluskan usul kelapan yang akan berlangsung pada petang ini.

"Jadi petang ini akan ada undian untuk usul dan saya difahamkan akan dilulus.

"Malah, beberapa tag di kerusi dalam Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan bahagian telah dicabut dan tanggal supaya perwakilan import boleh dibawa masuk untuk sorak dan lulus usul supaya nombor satu dan dua ini tidak dipertandingkan.

"Saya merayu kepada perwakilan yang ada di dalam dewan, kita jangan biarkan usul ini lulus terutamanya usul tiada pertandingan bagi jawatan nombor satu dan dua parti. Kita bagi perwakilan di bahagian kebebasan untuk memilih, pucuk pimpinan parti yang akan datang," katanya dalam video yang dimuat naik di laman TikToknya pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perwakilan Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin telah mengemukakan usul tambahan agar dua jawatan tertinggi melibatkan Presiden UMNO dan Timbalan tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Artikel Berkaitan:

Usul berkenaan telah mendapat sokongan daripada Perwakilan Terengganu, Selangor, Perwakilan Wanita dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, beberapa perwakilan yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan ucapan dasar presiden mengkritik tindakan pihak yang mengemukakan usul berkenaan.

Pagi Sabtu, Perwakilan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique menegaskan UMNO akan berdepan dengan perspektif negatif pengundi luar sekiranya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Jelasnya, melihat akan perkembangan ini adalah wajar untuk parti membuat keputusan dengan penilaian secara menyeluruh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!