'Guna saluran betul, bukan tular di media sosial'

Zambery (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kepada pesara tentera terlibat banjir di Masjid Baiturrahman, Kampung Gual Nering pada Sabtu.
Zambery (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kepada pesara tentera terlibat banjir di Masjid Baiturrahman, Kampung Gual Nering pada Sabtu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Tindakan menularkan masalah kewangan di media sosial dalam kalangan pesara tentera untuk meraih simpati masyarakat tidak menyelesaikan masalah mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus berkata, situasi itu juga akan mencalarkan imej pertubuhan bukan kerajaan setempat yang mengagihkan bantuan.

Menurut beliau, banyak pihak yang terkena tempias akibat kepentingan peribadi golongan itu selain masyarakat yang berfikir JHEV tidak bertanggungjawab.

"Kita akan pastikan tiada ahli JHEV yang layak menerima bantuan tertinggal dalam setiap skim bantuan disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sumbangan banjir kepada pesara tentera di Masjid Baiturrahman, Kampung Gual Nering di sini pada Sabtu.

Zambery menasihatkan pesara tentera menggunakan saluran yang betul bagi membolehkan mereka dibantu dan mendapat manfaat daripada semua skim bantuan yang disediakan.

Sementara itu katanya, JHEV ATM memperuntukkan kira-kira RM500,000 melibarkan 2,500 pesara tentera di seluruh negara yang terkesan banjir termasuk Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

"Sumbangan melibatkan kit bantuan yang mengandungi keperluan asas seperti barangan penjagaan diri dan makanan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zambery yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (YVATM) memberitahu, skim yang disediakan untuk membantu pesara tentera seperti Bantuan Bencana Alam, Inisiatif Perumahan Veteran ATM, Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan Pengajian Tinggi dan Bantuan Sara Hidup.

Tambah beliau, turut disediakan ialah Skim Bantuan Bencana Alam sehingga RM10,000 bagi membantu kerosakan rumah veteran ATM akibat bencana alam seperti tanah runtuh, ribut atau banjir.

"Siasatan akan dilakukan sebelum permohonan diluluskan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!