Piala Budak Kampung cungkil bakat akar umbi
SUNGAI BULOH - Kerajaan negeri menganjurkan Kejohanan Piala Budak Kampung 2023 dalam usaha mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi yang berlangsung selama dua hari bermula pada Sabtu.
Exco Pembangunan Generasi Muda&Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, kejohanan tersebut melibatkan sukan bola sepak, sepak takraw dan bola jaring dengan menumpukan penyertaan kepada luar bandar.
Menurutnya, kejohanan tersebut berlangsung di Stadium Mini MBSA Paya Jaras dan Gelanggang Sepak Takraw, Dewan MBSA Paya Jaras Tengah di sini.
"Program ini akan dilaksanakan ke daerah terpilih untuk siri akan datang bagi meneruskan pencarian bakat-bakat sukan yang dipertandingkan.
"Program ini mempertandingkan tiga jenis sukan iaitu bola sepak (kategori bawah 10 dan 12 tahun), sepak takraw (bawah 18 tahun) dan bola jaring (kategori terbuka)," katanya pada Sabtu.
Katanya, pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM8,800 itu berjaya mengumpul penyertaan sebanyak 801 pasukan.
"Diharapkan penganjuran program ini dapat menjadi platform kepada para belia untuk menonjol dan mengembangkan bakal dalam sukan dipertandingkan.
"Ia juga sebagai galakan kepada komuniti aktif dalam bersukan untuk kecergasan disamping inisiatif kerajaan negeri mendekati komuniti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!