Tragedi Batang Kali: Hasrat mangsa jumpa pasukan SAR tertunai
HULU SELANGOR - Hasrat Ling Zi Xuan yang terselamat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya dekat sini pada 16 Disember lepas untuk bersua muka dan mengucapkan terima kasih kepada wira-wira yang menyelamatkannya, akhirnya tertunai.
Zi Xuan, 20, yang diselamatkan anggota bomba pada hari pertama tragedi itu, berkunjung ke Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, pada Khamis lepas bagi menzahirkan penghargaannya.
Bapanya, David Ling, 43, berkata selepas diselamatkan, anak lelakinya setiap hari meminta untuk berjumpa dengan anggota-anggota bomba yang berjaya menemuinya setelah tertimbus hingga paras pinggang dalam runtuhan tanah.
"Dia terlalu ingin berterima kasih kepada mereka. Pada mulanya memang susah untuk saya cari siapa yang membantunya (secara spesifik). Akhirnya, semalam selepas mendapat tahu di mana balai mereka bertugas, saya dan anak telah ke sana dan dia betul-betul menghargai dan berterima kasih kepada mereka,” katanya.
David yang kehilangan isterinya, Liu Pei Si, 44, dalam tragedi berkenaan berkata demikian kepada Bernama, selepas menghadiri majlis penghargaan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tragedi yang meragut 31 nyawa itu di Wisma Antara Gapi dekat sini, malam tadi.
Mengimbau kembali peristiwa pahit itu, David berkata, beliau berkali-kali menghubungi isterinya yang merupakan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, setelah mendapat berita mengenai tragedi tersebut, namun tiada jawapan.
"Dengan bantuan rakan-rakan, kami mencari anak dan isteri saya di Hospital Bentong, Hospital Kuala Kubu Bharu, Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur (HKL). Saya juga ada kongsikan maklumat kad pengenalan anak dan isteri untuk mudahkan pencarian,” katanya yang tinggal di Kepong.
David berkata, beliau sedikit lega selepas dimaklumkan anaknya berjaya diselamatkan pada petang hari pertama insiden dan dirawat di HKL, namun terus menantikan perkhabaran mengenai keadaan isterinya.
"Selepas dimaklumkan ada empat mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh hari itu, saya segera ke sana. Saya tunggu hingga pukul 11 malam, namun tiada berita. Esoknya saya ke sana lagi dan akhirnya diberitahu isteri saya sudah tiada,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut tidak lama lagi, David berkata, beliau sekeluarga masih dalam tempoh berkabung.
"Ikut adat orang Cina kami sekeluarga akan berkabung selama 49 hari. Memang sedih kerana sebelum ini isteri yang masak dan siapkan tetapi kini ia berubah.
"Tiada makan besar, cuma makan biasa-biasa sahaja,” katanya sambil memberitahu dia dan anaknya masih menerima rawatan kaunseling setiap dua minggu kerana trauma. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!