MGB, SA bangun projek hartanah RM2.9 bilion di Arab Saudi

Hock San (lima dari kiri) dan Bandar Mohammad (empat dari kanan) diiringi pengurusan kanan dan wakil daripada SANY di Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman yang bertempat di Ibu Pejabat LBS.
Hock San (lima dari kiri) dan Bandar Mohammad (empat dari kanan) diiringi pengurusan kanan dan wakil daripada SANY di Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman yang bertempat di Ibu Pejabat LBS.
A
A
A

ANAK syarikat LBS Bina Group Berhad, MGB Berhad (MGB) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama SANY Alameriah For Construction Co (SA) bagi membangunkan projek hartanah di Arab Saudi bernilai RM2.9 bilion.

Menerusi perjanjian tersebut, SA menyasarkan untuk melantik MGB bagi melaksanakan kerja reka bentuk dan pembinaan sebanyak 10,000 unit hartanah yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, peralihan industri pembinaan kepada Sistem Binaan Berindustri (IBS) berpotensi meningkatkan prestasi pembinaan, kualiti dan produktiviti secara menyeluruh sekali gus meningkatkan kecekapan dalam sektor tersebut.

“Kami sangat optimis ke arah kemajuan yang lebih pesat, didorong oleh penggunaan Sistem IBS. Kerjasama yang terjalin ini akan menjadi titik tolak untuk kami menerokai pasaran di Timur Tengah.

“MGB turut bersedia untuk menyumbang kepakaran di dalam industri pembinaan di Timur Tengah dan kami amat berbesar hati kerana sistem IBS kami digunakan untuk tujuan pembinaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut yang berkuatkuasa pada 13 Januari 2023 selama 12 bulan itu diadakan pada Jumaat di Ibu Pejabat LBS di Plaza Seri Setia, Selangor.

Hadir sama ialah wakil SA iaitu Pengerusi Lembaga Pengarah SA, Tuan Bandar Mohammad Al Amre; Pengarah Urusan MGB, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan, Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Datuk Richard Lim serta Ahli Lembaga SA, Tarek Amri.

SA merupakan syarikat usahasama (diperbadankan) oleh kerajaan Arab Saudi antara pengeluar peralatan berat kedua terbesar di dunia, SANY dan pemaju terkemuka di negara tersebut, Alameriah.

Artikel Berkaitan:

Menerusi kerjasama tersebut, SA turut berhasrat bekerjasama dengan MGB bagi mengendalikan kilang konkrit pratuang di Jeddah dan dijangka bakal membekalkan sejumlah 1,000,000 meter padu (m3) produk itu bagi pembinaan unit selama lima tahun.

Dalam pada itu, Hock San berkata, sistem IBS pada masa hadapan akan lebih mesra alam selaras agenda pembinaan hijau digariskan Pelan Transformasi Industri Pembinaan (2021-2025) yang menjadi agenda nasional memacu pembinaan hijau dan penjimatan kos.

“Kami telah mengenal pasti sistem IBS sebagai penyelesai yang berpotensi untuk meningkatkan prestasi pembinaan dan kami berharap dapat meluaskan pengetahuan dan kepakaran kami dalam bidang ini.

“MGB akan terus konsisten untuk menerima kontrak lain di samping meningkatkan tempahan pembinaan yang lebih kukuh dan menerokai pasaran yang berbeza,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!