'Usul jawatan Presiden, Timbalan tidak dipertanding tidak wajar'
KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO Bahagian Kepong menyifatkan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan yang dikemukakan pada Jumaat adalah tidak wajar.
Ketuanya, Mohd Hazreq Mohd Husin berkata, ini disebabkan tiada sesiapa di peringkat akar umbi yang bersetuju jika dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan.
“Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kita kalah. Kita bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dan ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) inilah bukan sahaja perwakilan, tetapi orang kampung, ahli-ahli dari cawangan dan bahagian semua menantikan keputusan ini.
“Saya pasti tidak ada sesiapapun khususnya di bawah ini bersetuju kalau (dua) jawatan tidak dipertandingkan.
“(Ini) disebabkan dalam perlembagaan kita sendiri menyatakan supaya jawatan itu dipertandingkan. Di sini orang nak tengok dekat mana kita punya keupayaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil pada Jumaat menyatakan satu usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang telah dikemukakan.
Kata Isham, usul berkenaan dicadangkan oleh perwakilan dari Negeri Sembilan, dan disokong oleh Perwakilan Terengganu, Selangor, Perwakilan Wanita dan Pulau Pinang.
Tambah Mohd Hazreq, sekiranya usul jawatan berkenaan diterima, bukan sahaja ahli UMNO yang berada di bawah tetapi rakyat juga akan mencemuh dan menolak parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kerana kita dilihat semakin parah tetapi tidak mahu mengekalkan demokrasi,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!