Caj masuk ke Thailand bebankan pelancong Malaysia
ALOR SETAR - Cadangan Thailand untuk mengutip bayaran sebanyak 300 baht (RM39.28) daripada pelancong asing yang tiba di negara itu bermula Jun depan tidak disambut baik pelancong dari Malaysia.
Pekerja swasta, Norshahril Md Yusup, 34, berkata, bayaran itu akan membebankan rakyat Malaysia terutama yang sering masuk ke Thailand untuk makan.
"Macam saya dan kawan-kawan, kami selalu masuk ke sana walaupun sekadar ke pekan Dannok untuk makan.
"Dalam sebulan tu sekali atau dua kali mesti akan ke sana, kalau setiap kali masuk kena caj 300 baht, membebankan juga sebab kami pergi secara balik hari," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.
Menurutnya, tindakan Thailand itu juga akan menyebabkan kemasukan pelancong dari Malaysia berkurangan.
"Orang Malaysia terutama dari negeri yang duduk bersempadan dengan Thailand memang kerap bercuti ke Hatyai.
"Bila dikuatkuasakan caj begini, mungkin ada yang akan batal sahaja hasrat untuk ke sana," katanya.
Peniaga, Haslina Wani Abdul Hamid, 40, berkata, caj berkenaan akan meningkatkan kos perniagaannya kerana dia berulang alik setiap minggu ke sana untuk urusan perniagaan.
"Kutipan sebanyak 300 baht ini kalau untuk yang ingin melancong mungkin okay, sebab lama di sana.
"Tapi kalau untuk urusan perniagaan macam saya, memang membebankan sebab sampai RM39, saya pula seminggu dua tiga kali juga ke sana," katanya.
Justeru, dia barharap kerajaan Thailand dapat mempertimbangkan pengecualian bayaran bagi mereka yang masuk atas urusan perniagaan supaya kedua-dua pihak mendapat manfaat.
Bagi penjawat awam, Hasnah Jusid, 33, bayaran tersebut jika untuk keselamatan diri pelancong ketika di sana ia wajar dikenakan, namun nilainya perlu dikurangkan kerana terlalu tinggi.
"Mungkin kerajaan Thailand perlu kaji semula nilai bayaran itu, kalau sekadar RM15-RM20 saya rasa ia tidak membebankan sangat.
"Selain itu bayaran ini juga perlu dikecualikan untuk pemegang pas sempadan dari Malaysia yang kerap pergi ke Dannok dan Hatyai untuk makan dan membeli-belah," katanya.
Hasnah menambah, Thailand juga perlu memperjelaskan syarat bayaran tersebut supaya ia tidak bertindih dengan insurans yang diambil oleh pelancong yang masuk dengan kenderaan persendirian sebelum ini.
Sebelum ini, Channel News Asia (CNA) melaporkan, Thailand merancang mengutip yuran sebanyak 300 baht daripada pelancong asing yang tiba di negara tersebut bermula Jun depan.
Berdasarkan laporan CNA, yuran itu difahamkan akan digunakan untuk membantu pelancong jika dalam kemalangan selain membangunkan destinasi pelancongan negara terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!