Bakal dihukum mati kerana bina rumah atas laut
BANGKOK - THAILAND. Seorang pelabur mata wang kripto, bitcoin warga Amerika Syarikat (AS) bakal berdepan hukuman mati selepas Tentera Laut Thailand mendakwanya melanggar kedaulatan negara itu kerana membina sebuah rumah di luar pantai negara itu.
Chad Elwartowski dan teman wanitanya, Supranee Thepdet yang dikenali sebagai Bitcoin Girl Thailand berdepan tuduhan mengancam kemerdekaan negara itu selepas pihak berkuasa menemui rumah atas laut yang dibina pada jarak 22 kilometer dari tepi pantai.
Semalam, Kolonel Polis, Nikorn Somsuk memaklumkan aduan rasmi dikemukakan di balai polis Phuket.
"Rumah terapung tidak berpenghuni itu dijumpai pasukan tentera. Jadi, mereka failkan tuduhan di bawah Kod Jenayah Artikel 119," ujarnya lagi.
Jika disabit bersalah, Elwartowski dan Supranee boleh dikenakan hukuman mati.
Menurut Nikorn, tentera laut akan bertemu dengan pegawai wilayah untuk menentukan tindakan seterusnya.
Sementara itu, Tentera Laut Diraja Thailand menerusi Facebook, pasangan itu tidak memohon kebenaran dari Thailand sebelum membina rumah itu.
Pasangan itu dilaporkan bersembunyi di sebuah 'tempat selamat'. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!