PRN: UMNO lantik Menteri Angkat di enam negeri

Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas selesai ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022. FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas selesai ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022. FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO mengumumkan pelantikan Majlis Tertinggi dan Menteri Angkat yang akan ditempatkan di enam negeri sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat untuk memastikan fokus dan strategi gerak kerja dapat disusun dengan baik.

Jelasnya, Timbalan Presiden, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan yang juga Menteri Pertahanan akan ditempatkan di Negeri Sembilan, manakala Naib Presiden, Datuk Seri Mahadzir Khalid di Kedah.

“Di Terengganu pula Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Azalina Othman Said di Pulau Pinang dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz,” katanya ketika menggulung ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Bagi tujuan penyelarasan pula, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Majlis Tertinggi telah bersetuju melantik Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai Penyelaras Operasi PRN.

Untuk rekod, kesemua enam negeri yang bakal mengadakan PRN tidak lama lagi itu tidak ditadbir oleh UMNO-Barisan Nasional.

Pada Sabtu, media melaporkan Pas membayangkan PRN bagi Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijangka akan diadakan pada Mac atau Ogos depan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata, ada beberapa cadangan tarikh sudah dibuat, tetapi belum diputuskan pucuk pimpinan tertinggi parti itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!