Ahmad Zahid nafi takut bertanding dalam pemilihan parti
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak timbul bahawa keputusan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan disebabkan dirinya takut untuk bertanding dalam pemilihan parti.
Presiden UMNO itu menjelaskan, ini disebabkan perwakilan UMNO yang mengundi usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan adalah merupakan keputusan akar umbi.
“Mereka mewakili akar umbi. Jadi akar umbilah yang mahu supaya perpaduan dan penyatuan parti itu diutamakan,” katanya pada sidang media selepas penggulungan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang diluluskan pada PAU 2022.
Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, usul berkenaan disokong oleh hampir kesemua perwakilan terlibat.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, tambahan usul tentang dua jawatan tertinggi itu sepenuhnya mengikuti Perlembagaan UMNO.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga dalam masa sama turut menyatakan bahawa bagi jawatan-jawatan bermula Naib Presiden ke bawah, ia terbuka untuk dipertandingkan seperti biasa.
“Rasional terhadap perkara ini telah diperincikan oleh kesemua jurucakap-jurucakap dan saya juga meneliti ucapan dasar ketua-ketua sayap serta jurucakap negeri-negeri.
“Maka keputusan tadi adalah keputusan muktamad sesuai dengan apa yang saya nyatakan dalam wawancara atau kenyataan media bahawa sesungguhnya kami berdua menyerahkan soal ini kepada perwakilan.
“Perwakilan yang diabsahkan adalah perwakilan dalam PAU dan perkara ini telah dilaksanakan mengIkut fasa-fasa dalam Perlembagaan dan peraturan parti,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!