Trio boling lelaki negara padu di ATBC
SKUAD boling lelaki negara mempamerkan persembahan bertenaga apabila mengungguli acara trio pada Kejohanan Boling Tenpin Asia (ATBC) ke-26.
Pada aksi di Pusat Boling Persatuan Olahraga China Selatan di Hong Kong itu, trio dibarisi Muhammad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan mempamerkan aksi cemerlang selepas melakukan 4,677 jatuhan pin.
Keputusan itu menyaksikan pasukan negara meninggalkan trio Korea Selatan dibarisi Park Donghyuk, Park Geonha dan Ji Geun yang mencatat 3,661 jatuhan pin.
Satu lagi trio negara dibarisi Syazirol Shamsudin, Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam dan Syafiq Ridhwan Abdul Malik pula dipisahkan dengan 44 jatuhan pin dengan wakil Korea Selatan itu, dan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.
Sementara itu, hasrat skuad boling wanita negara mempertahankan pingat emas acara sama tidak kesampaian selepas gandingan dibarisi Gillian Lim, Nora Lyana Nastasia Norkamal dan Puteri Nurul Dini Faudzi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 4,255 jatuhan pin.
Kategori itu diungguli trio Singapura mengungguli acara berkenaan selepas melakukan 4,463 jatuhan pin sementara pingat gangsa milik pasukan Korea Selatan yang mencatat 4,218 jatuhan pin.
Untuk rekod, Malaysia muncul juara keseluruhan selepas memenangi enam pingat emas, satu perak dan empat gangsa pada edisi ATBC 2019 di Kuwait.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!