Mampukah UMNO tutup isu perpecahan
MENJADI adat dalam apa juga perhimpunan besar, apatah lagi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang paling ditunggu-tunggu tahun ini pastinya akan ada pelbagai kisah 'pahit' dan 'manisnya' tersendiri.
Selepas hampir dua kali perhimpunan tertinggi parti Melayu terbesar itu diadakan dalam serba kekakangan termasuklah jumlah kehadiran yang terhad susulan pandemik Covid-19, namun PAU 2022 yang menutup tirainya secara rasmi petang tadi kembali meriah seperti sebelum munculnya wabak yang membawa maut itu.
Bukan itu sahaja, perhimpunan tahun ini juga menjadi saat yang dinanti-nanti bukan sahaja kepada ahli parti itu tetapi juga rakyat secara keseluruhan.
UMNO yang mula 'bergelora' selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas kerajaan yang diterajui parti itu jatuh, namun tidak terhenti di situ sahaja kesetiaan ahli parti tersebut terus diuji apabila hanya mampu memenangi 30 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.
Susulan itu, isu perpecahan dengan dakwaan wujudnya kumpulan tertentu terus membadai parti yang diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tersebut.
Gelora yang melanda UMNO terus berlanjutan apabila kepimpinan UMNO-BN memilih Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, ramai yang beranggapan PAU 2022 bakal 'bakal' panas susulan idealisme baharu UMNO yang memilih PH yang sebelum ini menjadi seteru utama parti itu.
Bagaimanapun, sangkaan itu jauh meleset apabila kebanyakan perwakilan yang mengambil bahagian kurang menyentuh mengenai isu berkenaan, sebaliknya lebih tertumpu kepada tindakan 10 ahli Parlimen daripada BN menandatangi akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri berikutan tiada parti yang memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan selepas berakhirnya PRU15.
Maka, isu 10 ahli Parlimen BN yang dilabel sebagai 'pengkhianat' oleh kumpulan tertentu itu bagaikan menutup segala persoalan yang mungkin masih berlegar dalam fikiran ahli akar umbi dengan keputusan parti memilih untuk bersama dengan PH, sedangkan pada PAU 2021 yang diadakan Mei tahun lalu, pemimpin parti menegaskan 'No DAP, No Anwar'.
Tidak terhenti di situ, hari terakhir PAU 2022 juga disajikan dengan pelbagai 'drama' berikutan terdapat perbezaan pendapat mengenai kewajaran jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan atau sebaliknya.
Tidak cukup dengan asakan perwakilan yang mahukan pertandingan dua jawatan tertinggi parti dipertandingkan dan ada pula pandangan sebaliknya, tengah hari tadi pula tersebarnya video yang didakwa adanya perwakilan import untuk memastikan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan akan diluluskan perwakilan.
Bagai menoktahkan isu tersebut, usul tambahan itu diluluskan perwakilan, sekali gus menyaksikan Ahmad Zahid dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan mengekalkan kedudukan mereka.
Persoalannya kini, mampukah UMNO menutup perpecahan yang didakwa berlaku itu berikutan ada pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
Sudah pasti masih banyak laluan berliku perlu dihadapi UMNO khususnya Ahmad Zahid untuk kembali memperkasakan parti sekiranya isu membabitkan perpecahan tidak ditangani secara berhemah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!