Kerjaya Zii Jia di ambang bahaya
KETIKA jaguh badminton perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia selesa tanpa bimbingan jurulatih, namun bagi mengharungi pengembaraan yang masih panjang dalam sukan itu, keputusan tersebut wajar difikirkan semula.
Ramai pemerhati dan peminat melihat Zii Jia yang tewas seawal pusingan pertama kepada pemain meningkat naik dari Jepun, Kodai Naraoka pada Terbuka Malaysia 2022 sebagai 'hilang arah'.
Justeru penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli menasihati pemain itu agar menimbang semula keputusan itu demi masa depannya.
Beliau berkata, jika prestasi terus merudum, ia bukan sahaja memberi tekanan kepadanya, malah boleh mengundang masalah lain termasuk penaja mungkin menarik diri.
“Saya tidak pasti adakah ia berpunca kerana masalah kewangan atau isu lain, tetapi kita sudah nampak implikasinya. Nasihat saya, Zii Jia perlu bertindak segera sebelum terlambat kerana kariernya kini dalam bahaya.
“Zii Jia kena ingat, jika prestasinya terus merudum dan tidak mencapai keputusan diharapkan, ia bukan sahaja akan memberi tekanan ke atas dirinya malah penaja juga mungkin akan menarik diri.
“Jika ini berlaku, Zii Jia akan menghadapi kesukaran untuk meneruskan kariernya. Ia juga boleh menjejaskan peluang Malaysia untuk memenangi pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2024 kerana setakat ini dia adalah sandaran terbaik
sukan badminton,” katanya.
Zii Jia ditunjukkan jalan keluar selepas tumpas 21-13, 17-21, 19-21 di tangan Naraoka yang juga pemain bukan pilihan bagi kejohanan pembuka tirai Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia itu tahun ini.
Susulan kekalahan tersebut pemain yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu belum terfikir mahu kembali mendapatkan khidmat seorang jurulatih.
Sebaliknya, Zii Jia tetap dengan pendiriannya untuk bergerak solo selepas 'berpisah' dengan jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya pada November tahun lalu.
Menurut Pekan, bagi pemain yang mahu bergelar profesional perlu memiliki pasukan yang lengkap bukan sahaja jurulatih malah melibatkan individu lain termasuk pengurus, jurulatih kecergasan dan psikologi.
Katanya, selain jurulatih, pakar analisis juga penting bagi membantu pemain untuk mengenal pasti prestasi mereka, selain menilai kelemahan serta kelebihan pihak lawan.
"Siapa yang nampak kelemahan ketika dalam permainan, apa nasihat yang perlu diberikan dan adakah kita sudah benar-benar bersedia daripada segi mental dan fizikal. Kesemua ini perlukan nasihat dari jurulatih dan pakar.
"Bagaimana dengan jadual latihan, pra pertandingan, sewaktu kejohanan dan jangkaan puncak prestasi. Jadi pemain profesional bukan sekadar susun jadual pertandingan, tempah tiket dan main sana sini, tetapi banyak lagi faktor pelengkap yg membezakan antara seorang pemain profesional dan amatur,"
katanya.
Tambah beliau, apabila bergelar profesional usaha yang perlu dilakukan berlipat kali ganda berbanding pemain amatur kerana ia melibatkan periuk nasi dan kelangsungan kerjaya tersebut untuk jangka pendek dan panjang.
"Adakah pemain itu mahu cemerlang dan jadi juara dunia atau pemain profesional biasa-biasa sahaja. Lama-kelamaan tenggelam serta dilupakan, segalanya terletak pada kesungguhan diri sendiri. 'Tepuk dada tanya selera'," katanya.
Zii Jia ketika ini menjadikan pemain, Liew Darren sebagai rakan sepelatih di samping mengekalkan kakaknya, Lee Zii Yii sebagai pengurus, Sandra Fiedler (fisioterapi) dan jurulatih kecergasan, Lim Joe Heang.
Pekan berkata, sekiranya tidak ada lagi jalan keluar, Zii Jia tidak harus berasa malu untuk berpatah balik ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Ia mungkin jalan terakhir yang perlu dilakukan oleh Zii Jia jika tidak ada lagi pilihan. Buat masa ini, masih belum terlambat untuk dia memperbaiki apa saja kekurangan dan perbetulkan apa yang tak betul.
"Jadilah pemain profesional dalam erti kata sebenar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!