Penulis, sastera dan sumbangan

Allahyarhamah Dr Amida merupakan pengarang kreatif yang prolifik dan tinggi mutunya.
Allahyarhamah Dr Amida merupakan pengarang kreatif yang prolifik dan tinggi mutunya.
A
A
A

Setelah manusia dipanggil pulang menghadap Ilahi, apakah agaknya sumbangan ditinggalkan untuk anak bangsa? Lantaran hidup seseorang itu singkat cuma, maka kematian yang akan mengingatkan peranan dan tanggungjawab manusia itu di alam semesta.

Begitu juga yang terjadi dalam dunia kesusasteraan apabila seseorang pengarang itu pulang ke kampung abadi, sudah pasti hasil karyanya yang menjadi sumbangan bermakna.

Apakah hasil karyanya itu dapat membangunkan pemikiran pembaca? Apakah hasil karyanya itu dapat membugar semangat anak muda? Apakah hasil karyanya itu dapat membentuk keperibadian mulia anak bangsa?

Malah, yang paling memberikan impak besar kepada diri seseorang pengarang apabila telah tiada di muka bumi ini adalah ganjaran pahala yang diraih di dunia sebagai jambatan di akhirat sana.

Musabab itu, sebelum berkarya sewajarnya pengarang memiliki azam dan niat untuk menulis perkara mendatangkan kebaikan kepada pembaca.

Usah sesekali mencemar dunia penulisan dengan menuangkan sengketa. Usah sesekali mencemar dunia penulisan dengan menyumbangkan petaka. Usah sesekali mencemar dunia penulisan dengan mempertaruhkan bobrok yang sangat ketara.

Apakah yang dimaksudkan dengan sengketa, petaka dan bobrok yang ketara? Itu merupakan hasil karya tidak senonoh untuk tatapan pembaca.

Misalnya, banyak memperagakan isu berantakan rumah tangga, kisah cinta teruna dara tiada hala tuju, perebutan kasih antara duda dan janda dengan gaya bahasa buruk serta jelik yang memusnahkan keindahan karya sastera.

Artikel Berkaitan:

Justeru, sebagai seorang pengarang khususnya anak muda yang baru berjinak-jinak dalam pengkaryaan, dimohon meletakkan kemulukan, kemuliaan dan keunggulan di tempat pertama. Fikirkan natijah daripada penulisan yang dilakukan, apakah ia dapat membawa pengajaran berguna atau sebaliknya?

Fikirkan kesan daripada penulisan yang dihasilkan, apakah ia dapat mengubah manusia daripada keburukan kepada kebaikan atau sebaliknya? Fikirkan impak daripada penulisan yang dibaca orang lain, apakah ia akan mendorong pembaca mencintai gaya bahasa yang indah atau tergamam dengan pemilihan kata-kata yang kesat, keji dan hina?

KEHILANGAN

Dalam perkembangan kesusasteraan Melayu tanah air, pengarang hadir dan pergi. Hampir saban masa tanah air kehilangan pengarang mapan yang besar jasa. Terkini, kepulangan Dr Amida@Hamidah Abdulhamid (Anis) ke kampung abadi yang merupakan bekas pensyarah Universiti Malaya.

Allahyarhamah bukan sahaja menguasai bidangnya dalam etika, estetika, retorik dan logik kerana Ijazah Sarjana Falsafahnya diperoleh dari Universiti Winconsin-Madison, Wisconsin, Amerika Syarikat, bahkan merupakan pengarang kreatif yang prolifik serta tinggi mutunya.

Antara hasil karyanya yang meliputi tulisan ilmiah dan kreatif ialah Pengantar Estetik, Persoalan Dendam dalam Sastera Melayu, Rangkaian Falsafah dalam Analisis Sastera, Kumpulan Cerpen Utopia, Kumpulan Cerpen Cenderamata, Kumpulan Cerpen Taman Puspa, Antologi Cerpen Titah Paduka Seri Cerpen Pilihan Dewan Sastera 1990-1999, Memoir Kasih Disemai, Sayang Dituai, Kembang Semusim dan Kemarau Semusim.

Sumbangan Allahyarhamah atau dikenali dengan nama pena ‘Anis’ sangat besar dalam memperkasa sastera tanah air kerana cakupan penglibatannya. Beliau bukan hanya berkecimpung sebagai pengarang ilmiah dan kreatif, bahkan menjadi panel hakim dalam banyak acara sastera berprestij tinggi seperti Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), hadiah sastera negeri-negeri di Malaysia dan aktiviti lainnya.

Beliau banyak membimbing anak muda menghasilkan karya bermutu, selain menyumbang bakti dalam penulisan ‘kata penghantar’ sama ada buku ilmiah, atau kreatif dan aktif menulis sebagai kolumnis beberapa majalah tanah air.

Malah, anak kelahiran Muar, Johor itu juga merupakan pengarang disenangi ramai masyarakat sastera. Beliau telah melahirkan ramai mahasiswa yang turut menjadi penulis dan terlibat dalam dunia penerbitan, selain penyiaran di seluruh tanah air.

Lantaran sosok keperibadiannya yang sopan dan keibuan menyerlahkan nilai-nilai murni sebagai kasih sayang sebagaimana terungkap dalam hasil karyanya, maka itulah yang tercorak dalam pergaulannya.

Selain itu, beliau proaktif dalam misi kemanusiaan dan kemasyarakatan seluruh tanah air sehingga menjangkau negara Asia Tenggara. Pengalamannya yang pernah berkhidmat di Brunei turut memperlihatkan sumbangannya yang besar dalam dunia kesusasteraan nusantara.

Justeru, betapa pentingnya peranan digalas oleh seseorang pengarang dalam menelusuri kehidupan di muka bumi ini. Menjadi penulis bukan sekadar untuk suka-sukaan semata-mata, bukan sekadar menjadi terkenal dan popular, bukan sekadar untuk mengaut keuntungan daripada jualan buku yang berganda, bukan sekadar untuk mengisi masa lapang sahaja, bahkan wajar memikirkan sumbangan besar untuk anak bangsa.

Seseorang pengarang perlu sedar amanah tergalas di bahu sebagai seorang khalifah yang hanya menumpang di muka bumi sementara. Perlu pasakkan dalam diri bahawa hasil karya sastera yang dibaca menjadi khazanah berguna untuk pembangunan nusa dan pembentukan keperibadian anak bangsa.

Usah sesekali menghasilkan karya tidak menyumbang kepada peradaban, sekali gus memperlihatkan kejelikan daripada pelbagai sudut yang akhirnya mencemar dunia sastera tanah air.

Ayuh, anak muda dan pengarang baharu yang bakal mencipta nama, tulislah sesebuah karya dengan nawaitu tulus demi agama, nusa dan bangsa. Lantaran hasil karya itu kelak menjadi ladang pahala untuk dikutip setelah dipanggil pulang oleh Tuhan Yang Maha Pencipta.

Mohon sedekahkan al-Fatihah buat seluruh pengarang tanah air yang telah menghadap-Nya. Buat gemulah Dr Amida@Hamidah, selamat berangkat ke alam barzakh, semoga hasil pena yang kini menjadi khazanah berharga merupakan saham istimewa yang akan membantu di padang mahsyar kelak.

Untuk itu, renung-renunglah ungkapan ini, Ibnu Umar RA berkata: “Aku datang menemui Nabi Muhammad SAW bersama 10 orang, lalu salah seorang Anshar bertanya, siapakah orang yang paling cerdas dan paling mulia wahai Rasulullah? Nabi menjawab, orang yang paling banyak mengingat kematian dan paling siap menghadapinya, mereka itulah orang-orang yang cerdas, mereka pergi dengan membawa kemuliaan dunia dan kehormatan.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

* Profesor Madya Dr Kamariah Kamarudin ialah pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, dan Penyelidik Bersekutu di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!