Azmira kecewa suami tidak jujur
KOTA BHARU - Ibu tunggal yang mahu dipanggil Azmira, 32, berkongsi kisah perkahwinannya hancur akibat orang ketiga dan sehingga kini dia tidak dapat menelan pahitnya penipuan suami tercinta.
Menurut Azmira, tugas suami yang dikenali sebagai Zafri, 32, dalam agensi badan beruniform menyebabkan dia sentiasa ditinggalkan kerana perlu menghadiri kursus dalam tempoh satu hingga tiga bulan.
ARTIKEL BERKAITAN Perosak rumah tangga boleh dipenjara, denda
“Enam tahun pertama perkahwinan kami sangat bahagia dan dikurniakan tiga cahaya mata,” katanya.
Bagaimanapun kata Azmira, selepas itu, suaminya dilihat tidak boleh 'berenggang' dengan telefon pintar selepas pulang daripada menghadiri kursus di luar Kelantan.
“Beberapa minggu kemudian, saya terlihat mesej WhatsApp yang mengandungi luahan perasaan antara suami dengan seorang wanita,” ujarnya.
Sebagai wanita, Azmira mengakui masih boleh menimbangkan hasrat suami jika mahu berkahwin lagi, namun kecewa kerana ditipu suami.
“Dalam tempoh setahun kemelut masalah kami, saya mendapat tahu Zafri sudah berkahwin dengan wanita itu di Thailand,” katanya.
Enggan berdiam diri dan terus bersabar, Azmira bertemu madunya tiga bulan kemudian sebelum mengambil keputusan berpisah dengan suami.
“Saya sangat kagum dengan wanita yang boleh bermadu 'hasil' penipuan suami.
“Kalau difikirkan semula, saya boleh sesak nafas kerana terlalu marah dengan orang ketiga yang muncul dalam perhubungan kami dahulu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!