'Adik angkat hancurkan perkahwinan kami'
IPOH - Perkahwinan atas pilihan keluarga hanya bertahan selama sedekad gara-gara kehadiran orang ketiga yang digelar sebagai adik angkat.
Pada awalnya Liza (bukan nama sebenar) dan suami, Hariz sangat bahagia meskipun baharu mengenali hati budi masing-masing selepas diijabkabulkan.
“Saya ketika itu berusia 22 tahun mengikut pilihan keluarga untuk bernikah dengan Hariz, 30, yang merupakan seorang anggota tentera,” kata Liza.
Wanita berusia 50 tahun itu berkata, selepas enam tahun mendirikan rumah tangga, sikap Hariz mula berubah apabila lewat pulang ke rumah selain sering menghadapi masalah kewangan.
ARTIKEL BERKAITAN Perosak rumah tangga boleh dipenjara, denda
“Tembelangnya mula pecah apabila rakan beritahu dia ada wanita lain selain turut terbabit dalam judi,” katanya.
Tambah Liza, dia mula mengikuti pergerakan suaminya hinggalah bertemu pasangan itu di sebuah taman rekreasi di Kuala Lumpur.
“Di rumah, kami bertengkar kerana dia enggan mengakui perkara itu sebaliknya memberitahu wanita itu adalah adik angkatnya,” katanya yang tidak dikurniakan cahaya mata hasil perkahwinan dengan Hariz.
ARTIKEL BERKAITAN Azmira kecewa suami tidak jujur
Menurut Liza, dia sedaya upaya cuba memulihkan kembali hubungan dengan suami, namun tidak berjaya.
“Saya ambil keputusan untuk menamatkan hubungan ini dan akhirnya suami melafazkan talak satu.
“Saya tak tahu ada undang-undang boleh dikenakan jika ada orang ketiga yang ganggu rumah tangga orang lain. Bagaimanapun semua sudah berlalu dan saya gembira dengan kehidupan kini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!