Sanggup masuk ke lubuk buaya
KUALA TERENGGANU - Kerap kali bertemu sewaktu operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas, siapa sangka individu yang berperwatakan serius ini sebenarnya ramah dan mudah didekati.
Kecekapannya dan anak buah dari unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) tidak perlu dipertikaikan lagi, malah kepakaran mereka sentiasa ditagih dalam pelbagai situasi, tidak kira ketika berdepan ombak ganas atau keadaan air 'zero visibility', tanpa mengira siang atau malam.
Ketua Unit PPDA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Zakariya Mohamad berkata, dengan kekuatan anggota seramai 84 orang di seluruh Terengganu, mereka sentiasa bersedia tatkala perkhidmatan mereka diperlukan.
Mula bergiat aktif dengan unit selam bomba pada 1999, beliau yang juga satu-satunya jurulatih selaman bomba di Terengganu ini merupakan antara perintis pasukan PPDA di Terengganu yang ditubuhkan pada 2006.
"Saya seperti anak kampung lain, memang aktif dan suka mandi sungai. Jadi apabila bomba ada pasukan selamnya sendiri, saya mencabar diri, dan manfaatkan kemahiran berenang yang saya ada.
"Saya bermula pada tahun 1999 dengan memasuki unit selam dan menjalani latihan di Ipoh, Perak selama tiga minggu untuk mendapatkan sijil 'open water diver' (OWD), diikuti kursus 'advanced and rescue diver' (ARD) selama tiga minggu.
"Pada 2004, saya dipanggil untuk mula menjadi instruktor bersama beberapa lagi pegawai lain dan perlu menjalani latihan selama tiga minggu, sebelum menjadi jurulatih bomba aktif sejak 2005 sehingga kini," katanya.
Bukan mudah sertai pasukan PPDA
Zakariya mengakui, bukan mudah menjadi sebahagian daripada pasukan PPDA kerana selain menyertai operasi, mereka perlu menjalani tujuh jenis latihan selama 10 jam sebulan, merangkumi 90 minit latihan menyelam.
Malah katanya, dalam pasukan itu, kemahiran dan keyakinan adalah paling penting bagi memastikan pasukan penyelam bomba itu cekap dan mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik.
"Untuk menjadi penyelam yang bagus, kita kena kerap buat latihan. Apabila buat latihan, secara tidak langsung mereka akan mendapat skil yang bagus. Biasanya, saya suka buat latihan di lokasi yang hampir sama dengan tempat kejadian seperti di lombong, air terjun, laut dan sungai serta tempat yang kita tak nampak seperti 'black water'.
"Selain itu, mereka juga perlu menghadiri kursus selama sebulan bagi mendapatkan sijil Penyelam Keselamatan Awam (PSD) dari Pusat Latihan Keselamatan Terengganu (TSTC) dan lulus pemeriksaan kesihatan dari pakar selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," katanya.
Di Terengganu, terdapat empat balai yang mempunyai unit PPDA iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Chukai, Kuala Berang dan Jerteh.
Cabaran masuk lubuk buaya
Menceritakan pengalaman yang tidak dapat dilupakannya, Zakaria berkata, terpaksa masuk ke lubuk buaya dalam operasi mencari mangsa lemas di Pengkalan Gelap, Setiu tidak lama dulu antara pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan.
Katanya, setelah membuat penilaian, dia dan pasukannya menyelam bagi mencari mangsa.
"Dalam keadaan air yang tidak nampak, kami terpaksa meraba-raba untuk mencari mangsa. Perasaan takut memang ada tapi ini tanggungjawab kami, suka atau tidak, kami terpaksa lakukan.
"Semasa operasi dalam air, terjumpa ular adalah perkara biasa. Jumpa buaya itu jarang-jarang, tapi biasanya buaya tak 'buka mulut' kalau kita dalam air. Risiko binatang dalam air, kita kena tahu," katanya.
Jelasnya lagi, sebagai pasukan penyelamat, mereka perlu menyiapkan diri dengan kemahiran menyelam aras tinggi, sentiasa bersiap sedia mental dan fizikal dalam setiap situasi termasuk ketika air keruh dan ombak laut yang besar.
Namun paling penting katanya, mereka perlu tanamkan niat yang baik supaya segala keresahan dapat dibuang dan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!