Terbuka Malaysia: Axelsen, Naraoka buat perhitungan akhir

Axelsen meraikan kejayaan mara ke final Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena pada Sabtu. - Foto Bernama (Gambar kiri: Naraoka)
Axelsen meraikan kejayaan mara ke final Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena pada Sabtu. - Foto Bernama (Gambar kiri: Naraoka)
A
A
A

PEMAIN perseorangan nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen kini selangkah lagi untuk mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023.

Dalam aksi final di Axiata Arena, Bukit Jalil petang ini, Axelsen dijadualkan menentang Kodai Naraoka yang mengintai peluang menjadi pemain pertama Jepun bergelar juara Terbuka Malaysia.

Untuk rekod, Kento Momota hampir memenangi gelaran juara Terbuka Malaysia sebelum tumbang di tangan bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2018 dan Axelsen (2022).

Kali ini, tugas Naraoka tampak sukar memandangkan Axelsen telah memenangi kesemua tiga perlawanan berdepan pemain nombor tujuh dunia itu sebelum ini.

Pertemuan kali terakhir kedua-dua pemain itu menyaksikan Naraoka hampir mengejutkan Axelsen sebelum tewas 23-21, 19-21, 18-21 dalam separuh akhir Final Jelajah Dunia BWF bulan lalu.

"Dia (Naraoka) telah menunjukkan peningkatan dalam set kedua tetapi saya mendapat kembali rentak dan saya berpuas hati dengan kemenangan itu (Final Jelajah Dunia).

"Saya menjangkakan satu perlawanan yang sengit (dengan Naraoka) esok. Saya sedang melakukan persiapan untuk satu lagi perlawanan yang hebat esok," kata Axelsen kepada pemberita.

Sebelum itu, Axelsen melangkah ke pentas final selepas menewaskan seorang lagi pemain Jepun, Kanta Tsuneyama 21-7, 21-15 dalam dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Naraoka pula menempah tiket final apabila menumbangkan pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn 21-17, 19-21, 21-17 dalam satu lagi aksi separuh akhir yang penuh dramatik.

"Bukan strategi saya untuk bermain dalam perlawanan yang lama tetapi saya terus beraksi (berjuang sehingga tamat perlawanan) kerana saya sememangnya mahukan kemenangan.

"Saya hanya makan nasi dan daging serta mendapatkan rehat secukupnya untuk kekal cergas dalam pertarungan yang lama ini," ujar Naraoka, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Remaja 2018.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!