Karakter PN 'dibunuh', kluster mahkamah 'disucikan'

Malaysia Bersatu Information Chief Wan Saiful Wan Jan & Tangkap layar kenyataan dimuat naik Wan Saiful Wan Jan di Facebook
Malaysia Bersatu Information Chief Wan Saiful Wan Jan & Tangkap layar kenyataan dimuat naik Wan Saiful Wan Jan di Facebook
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa terdapat dua perkara akan berlaku secara 'parallel' (selari) dalam tempoh terdekat ini iaitu pembunuhan karakter Perikatan Nasional (PN) dan penyucian imej kluster mahkamah.

Beliau menjelaskan perkara itu menjadi keutamaan Pakatan Harapan (PH - Barisan Nasional (BN) terutama sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Ujarnya lagi, karakter PN perlu dibunuh kerana PN adalah pesaing terbesar bagi PH-BN.

"BN telah pun kalah teruk dengan PN tetapi PH memerlukan BN untuk menarik sokongan orang Melayu. Oleh itu, PH-BN akan bekerjasama untuk menghasut dan membentuk persepsi rakyat seolah-olah PN itu rosak dan korup.

"Target utama PH-BN ialah keperibadian Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keperibadian pemimpin-pemimpin kanan dalam PN. Ini kerana populariti dan keyakinan rakyat terhadap PN dan Tan Sri Muhyiddin terus kekal tinggi hingga ke hari ini.

"Rakyat tahu bahawa jika dibandingkan Anwar-Zahid (Datuk Seri Anwar Ibrahim-Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan orang-orangnya dengan Muhyiddin dan pemimpin di sekeliling Muhyiddin maka perbezaannya adalah seperti langit dan bumi," dakwanya di Facebook pada Ahad.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut mendakwa PH-BN akan melakukan apa sahaja untuk merosakkan kredibiliti Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin PN.

"Pembunuhan karakter ini tidak perlu hingga ranap sepenuhnya. Jika mereka boleh menghasut rakyat mengatakan Muhyiddin dan pemimpin PN sama sahaja dengan PH-BN, itu pun mereka akan anggap sudah berjaya dan mereka sudah berjaya jika rakyat mempersoalkan PN," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dakwanya lagi, penyucian imej kluster mahkamah pula akan dilakukan segera kerana mahu mempengaruhi persepsi rakyat dalam menghadapi PRN di enam negeri.

"Matlamat mereka sudah pasti untuk membersihkan seorang demi seorang kluster mahkamah terutamanya Ahmad Zahid dan membebaskan mereka dari imej tersebut," katanya.

Wan Saiful turut meluahkan rasa kebimbangan apabila membaca pendedahan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengenai cubaan menakut-nakutkan atau memberi tekanan terhadap hakim pada tahun lepas.

"Saya menyokong pandangan Ketua Hakim Negara bahawa percubaan yang mereka buat pada tahun lepas ini adalah penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.

"Kita mesti pertahankan integriti institusi perundangan dari salah laku serangan seperti yang berlaku tahun lepas. Kita semua tahu siapa memimpin kerajaan tahun lepas," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa rakyat perlu ingat bahawa Anwar dan Ahmad Zahid mempunyai rekod penyalahgunaan kuasa.

"Kes Zahid semua orang tahu tetapi ramai yang terlupa bahawa Anwar pernah dipenjara kerana bersalah memaksa agensi penguatkuasaan undang-undang bertindak untuk kepentingan dia sendiri.

"Anwar telah menjalani hukuman penjara atas kesalahan ini. Dia bersalah salahguna kuasa untuk kepentingan diri. Sekarang Anwar-Zahid bergabung memegang dua jawatan tertinggi negara," dakwanya.

Justeru, Wan Saiful mempersoalkan mengenai tindakan selanjutnya yang dilakukan oleh kedua pemimpin tersebut untuk membunuh karakter pemimpin PN.

"Adakah kita boleh percaya mereka tidak akan mempergunakan agensi penguatkuasa untuk menyiasat dan menekan dengan tujuan membunuh karakter Muhyiddin dan pemimpin PN, serta untuk membersihkan imej kluster mahkamah?

"Kita tahu agensi-agensi perundangan kita bekerja dengan ikhlas dan mereka mahu bebas bekerja. Tetapi gabungan Anwar-Zahid memang ada rekod yang jelas mempergunakan segala-galanya untuk kepentingan peribadi," dakwanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!