[VIDEO] 'Saya percaya ayah masih berada di Makkah'

Gambar kiri: MUHAMMAD NABIL . Gambar kanan: Musthafa Kamal Abdullah, 49, (kanan) dilaporkan hilang di Makkah sejak sebulan lalu.
Gambar kiri: MUHAMMAD NABIL . Gambar kanan: Musthafa Kamal Abdullah, 49, (kanan) dilaporkan hilang di Makkah sejak sebulan lalu.
A
A
A

BATU PAHAT - Anak sulung kepada jemaah umrah yang hilang sejak sebulan lalu di Tanah Suci percaya bapanya itu masih berada di sana dalam keadaan selamat.

Muhammad Nabil 26, berkata, gerak hatinya mengatakan bapa, Musthafa Kamal Abdullah, 49, masih berada di Makkah.

Jelasnya, sebagai ikhtiar mencari bapanya yang merupakan guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja, dia bersama adiknya Muaz, 17 akan berangkat menunaikan umrah, pada Jumaat.

"Beberapa pengamal perubatan Islam termasuk dari Darussyifa dan ustaz sudah kami sekeluarga rujuk untuk bantu kesan ayah yang dilaporkan hilang sejak 12 Disember lalu.

"Kami sekeluarga tidak putus berikhtiar, termasuk mengadakan solat hajat dan bacaan yasin di sekolah tempat ayah mengajar, setiap Khamis," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Mutiara, Sri Gading di sini, pada Ahad.

Hadir sama menziarahi Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan.

Muhammad Nabil yang bertugas di Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat berkata peluang diberikan untuk ke Tanah Suci akan digunakan sebaiknya untuk mencari ayah.

"Alhamdulillah ada slot kosong dari agensi umrah dan tarikhnya sesuai. Saya dan adik akan berada di Tanah Suci selama dua minggu.

Artikel Berkaitan:

"Ayah pernah menuntut di Universiti Al- Azhar, ramai rakan-rakan ayah yang masih berada di sana menghubungi saya untuk mencari ayah. Mereka menunggu saya untuk bersama-sama mencari ayah. Di sana nanti gambar dan risalah tentang ayah akan diedarkan," katanya.

Muhammad Nabil berkata, ibunya Zurina Muhammad@ shamsudin, 49 yang bekerja sebagai Pegawai Pusat Islam Universiti Tun Hussein Onn ( UTHM) sedih dan tidak dapat lena memikirkan ayah.

"Saya berdoa agar usaha mencari ayah di Tanah Suci nanti akan dipermudahkan. Semoga ada petunjuk baharu untuk menjejak ayah.

"Seterusnya ayah akan ditemui dalam keadaan selamat. Kami lima beradik rindukan ayah terutama adik bongsu Umar 12, mengalami masalah pembelajaran," katanya.

Muhammad Nabil memberitahu pada 6 Disember lalu, ayahnya bersama adiknya, Muaz berangkat menunaikan umrah dan dijangka pulang ke Malaysia pada 18 Disember lalu.

Bagaimanapun, pada 12 Disember, Muaz menyedari bapanya itu tiada di bilik hotel di Makkah.

Katanya, pada mulanya adiknya tidak terlalu risau bapanya keluar seorang diri kerana beliau boleh berbahasa Arab tetapi selepas bapa masih belum pulang hingga Subuh dan gambarnya juga tersebar di WhatsApp, mereka mengesyaki bapa dihantar ke hospital.

Muhammad Nabil (kanan), Muaz ( tengah) bersama Aminolhuda ( kiri) menunjukkan gambar ayah yang hilang sejak sebulan lalu di Mekah.
Muhammad Nabil (kanan), Muaz ( tengah) bersama Aminolhuda ( kiri) menunjukkan gambar ayah yang hilang sejak sebulan lalu di Mekah.

"Kami percaya mungkin ayah keluar seorang diri mahu pergi tawaf. Pada 13 Disember ada individu berkongsi gambar ayah memakai ihram tanpa beg dalam ambulans di kumpulan WhatsApp.

"Mutawif kemudiannya ke hospital mencari ayah tetapi ayah tiada dan diberitahu sudah keluar dari hospital serta dihantar pulang ke hotel.

"Pemeriksaan di hotel mendapati bapanya masih tiada di premis berkenaan. Pada hari ketiga kehilangan bapanya ada orang awam menghantar beg silang bapanya itu di kaunter hotel," katanya.

Pada Jumaat lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata Ketua Perwakilan Malaysia (Malawakil) di Arab Saudi memantau perkembangan jemaah umrah negara, Musthafa Kamal Abdullah, 49, yang dilaporkan hilang di Makkah sejak sebulan lalu.

Katanya, Malawakil di negara terbabit mengikuti perkembangan kes itu dan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!