Kemerosotan pasaran saham Malaysia tak serius
KUALA LUMPUR - Kemerosotan pasaran saham Malaysia tidak serius dan teruk kerana semua pasaran dunia turut mengalami kejatuhan serupa.
Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, penurunan itu memang sudah dijangka sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan keadaan bertambah buruk apabila pelabur jangka pendek lari dari Malaysia serta mata wang jatuh.
"Namun, ini bukan gejala jangka panjang kerana lebih cepat kemelesetan ini melanda Malaysia lebih baik, malah Jepun, Jerman, Kanada, Eropah dan Singapura juga hampiri paras paling buruk.
"Sebenarnya kita sudah alami kemelesetan pada 2008 dan 2009, jadi memang sudah sampai masanya untuk kita alami kitaran seterusnya gelombang kemelesetan ekonomi," katanya semalam.
Kelmarin, agensi berita Bloomberg melaporkan, harapan untuk menarik balik pelabur global ke pasaran saham Malaysia semakin teruk selepas penanda aras Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI turun 14 peratus daripada rekod pada Mei 2018.
Menurut Pengurus Dana Serantau Samsung Asset di Hong Kong, Alan Richardson, keadaan itu menjadikan Malaysia sebagai pasaran utama yang paling teruk di dunia setakat tahun ini yang mengalami penurunan 3.5 peratus.
Keadaan itu semakin memburuk di tengah-tengah persaingan dalam ekuiti global yang dipacu oleh tindakan Rizab Persekutuan dan perjanjian dagang yang masih kabur antara Amerika Syarikat (AS) serta China.
Prospek suram saham Malaysia mungkin tidak berakhir kerana sejak kerajaan baharu berkuasa pada Mei 2018 dan mereka telah menurunkan lagi hutang awam dengan mengetatkan fiskal dan langkah oleh kerajaan itu akan berterusan dari Mei 2018 hingga Mei 2020.
Ketika ditanya mengenai desakan pihak tertentu supaya Malaysia ambil tindakan segera, Barjoyai berkata, kerajaan tidak perlu berbuat apa-apa, sebaliknya membiarkan pasaran pulih seperti biasa.
"Selagi kita tahan, selagi itu kita akan bertambah derita dan sengsara, jadi biarkan sahaja dan ini adalah waktu terbaik untuk umumkan projek dan program supaya apabila keadaan pulih semula, maka segala perancangan dapat meluncur dengan deras dan laju," katanya.Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!